Pertama Digital catat keuntungan RM9.38 juta bagi FY2021 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertama Digital catat keuntungan RM9.38 juta bagi FY2021

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pertama Digital Berhad mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.38 juta dan kerugian selepas cukai kira-kira RM2.88 juta bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Ia disebabkan oleh kos operasi, perbelanjaan korporat sekali sahaja, perbelanjaan berkaitan permohonan lesen perbankan digital serta elaun untuk kerugian rosot nilai berkaitan muhibah.

 

Namun begitu, dengan pelbagai perkara dalam perancangan yang akan diumumkan pada masa yang sesuai, prospek perniagaan penyelesaian mudah alih dan digitalnya adalah cerah. 

 

Prospek operasi perniagaan baharu kumpulan dan pengembangan yang dirancang dijangka berkembang dengan baik dengan potensi pertambahan pendapatan yang positif

 

Dalam pada itu, kumpulan sedang meninjau peluang lebih besar dalam ruang pendigitalan kerajaan dan enterprise, dengan rancangan untuk mengembangkan lagi penawarannya di lebih banyak lokasi dan menyediakan perkhidmatan kepada orang awam dengan lebih meluas.

 

Pengerusinya, Tun Zaki Tun Azmi berkata, teknologi mudah alih dan digital telah berkembang pada kadar yang memberangsangkan dan penyepaduan penyelesaian IT daripada agensi kerajaan serta enterprise di seluruh negara memperoleh momentum yang ketara.

 

“Ini juga telah dicerminkan dalam kemajuan dan pencapaian produk Pertama Digital, seperti eJamin yang melaporkan sejumlah RM121.50 juta kutipan ikat jamin telah dikumpul pada tahun 2021.

 

"MyPay Coin Conversion telah mengumpul 9 juta keping syiling terbiar bernilai hampir RM1.7 juta sejak dilancarkan pada April 2021 dan MySMS yang menyokong pengesanan kenalan di seluruh negara dan program vaksinasi COVID-19 menerusi perkhidmatan pemesejan bersepadu kepada setiap penduduk Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini.

 

Dalam AGM itu, dua ahli Lembaga Pengarah telah memilih untuk tidak dikekalkan. 

 

Ia adalah perkembangan semula jadi dalam perjalanan kumpulan untuk berputar daripada operasi perniagaannya yang telah dihentikan iaitu dalam pengeluaran dan penjualan produk fabrik, untuk memberi tumpuan kepada perniagaan penyelesaian mudah alih dan digitalnya.

 

Be Top Group Limited dan anak syarikat milik penuhnya Top Textile (Suzhou) Co. Ltd, syarikat pengeluaran fabrik yang berpangkalan di China terlibat dalam operasi perniagaan Pertama Digital yang dihentikan, juga bersetuju untuk menjual sebahagian daripada asetnya kepada Pengarah Eksekutif, Sabri Ab Rahman yang kini merupakan pemegang saham besar dengan 11.74% kepentingan.

 

 

pertama
Dari kiri, Sabri Ab Rahman, Tun Zaki Tun Azmi dan Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar bergambar ketika AGM di ibu negara, hari ini.

 

 

“Memandangkan Pertama Digital bergerak untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa pemilik terdahulu dan operasi perniagaan yang dihentikan, kami sedang dalam proses untuk memperkenalkan wajah terkemuka baharu yang mampu memcurahkan kepakaran yang relevan dalam aspirasi mudah alih dan digital kami,” kata Tun Zaki. 

 

Baru-baru ini, Tun Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara juga telah dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa 30 Mei 2022, selepas berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif sejak 21 April 2020. - DagangNews.com