KUALA LUMPUR 14 Nov - Telekom Malaysia Bhd (TM) menegaskan proses perolehannya perlu menjalani semakan berterusan dan ketat dengan rundingan bersama Jawatankuasa Tender Lembaga TM sebagai sebahagian daripada proses dan penambahbaikan dasarnya.
Ditadbir oleh Dasar Perolehan TM, syarikat telekomunikasi itu menjelaskan, semua inisiatif tender yang dilaksanakannya mematuhi panduan standardnya, yang menyediakan satu set prosedur untuk mengurus aktiviti penyumberan dalam TM dan anak syarikatnya.
Katanya, ini bagi memastikan ia bekerjasama dengan agensi yang mencerminkan tahap kapasiti dan profesionalisme tertinggi.
“Sebarang pelaksanaan tender terbuka akan diiklankan melalui laman web korporat TM dan/atau saluran komunikasi awam dengan arahan jelas ditunjukkan dalam iklan untuk memudahkan rujukan oleh bakal peserta.
"Atas dasar memastikan kualiti dan komitmen dalam semua pengalaman pelanggan dan usaha jenama kami, piawaian ini menyumbang kepada ekosistem rakan kongsi yang bersemangat, bijak dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penerbitan artikel media tempatan bertajuk '4As states inaccuracy in TM’s statement about the tender fee, telco clarifies views'.
Sehubungan itu, TM berkata, kumpulan komited untuk memastikan peluang yang adil dan sama rata dalam semua usaha perniagaannya.
Tegasnya, sebagai sebuah syarikat yang berkhidmat untuk mencipta nilai jangka panjang bagi semua pihak, TM akan mempertimbangkan maklum balas 4As Malaysia sebagai langkah penambahbaikan yang berterusan.
"Kami berhasrat untuk meningkatkan tahap pemahaman dan meredakan sebarang keraguan yang berlarutan di pihak 4As Malaysia (Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia) terhadap usaha semasa kami dalam melantik panel agensi kreatif sebagai rakan kongsi," jelasnya. - DagangNews.com








