Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pavilion REIT mengumumkan jumlah perolehan kasar sebanyak RM113.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, penurunan sebanyak RM5.4 juta atau 4.5% berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya sebanyak RM118.7 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT, Dato' Philip Ho berkata, penurunan tersebut disebabkan terutamanya oleh peratusan sewa dan pendapatan pengiklanan yang lebih rendah berpunca daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang dikenakan oleh Kerajaan akibat pandemik COVID-19.
“Walaupun kami berdepan tahun yang sukar setakat ini, syarikat tetap optimis dengan pemulihan dan pertumbuhan industri runcit pada tahun hadapan.
"Pavilion REIT berazam untuk kekal berdaya tahan apabila dunia beralih daripada fasa pandemik kepada fasa endemik dan komited untuk memacu prestasi dan mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingannya," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Syarikat itu merekodkan jumlah perbelanjaan operasi hartanah yang lebih tinggi sebanyak RM8.0 juta atau 13.8% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh rebat sewa yang diberikan kepada penyewa yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.
Walau bagaimanapun, ini telah dikurangkan oleh penjimatan utiliti, kos penyelenggaraan hartanah yang lebih rendah dan perbelanjaan pemasaran yang lebih rendah.
"Ini mengakibatkan pendapatan hartanah bersih berkurangan sebanyak RM13.4 juta atau 22.0% pada suku ketiga 2021 berbanding suku ketiga pada 2020," katanya.
Tambahnya, jumlah hasil bagi tahun sehingga tarikh 30 September 2021 ialah RM364.3 juta, lebih rendah sebanyak RM15.1 juta atau 4.0% berbanding prestasi tahun sebelumnya sehingga 30 September 2010.
"Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh penghunian yang lebih rendah untuk pusat beli-belah yang berpunca daripada tidak memperbaharui beberapa penyewaan yang telah tamat tempoh dan penangguhan tarikh permulaan sewa bagi sesetengah penyewa.
"Pendapatan daripada peratusan sewa, acara pemasaran dan pengiklanan turut terjejas," jelasnya. -DagangNews.Com








