Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Dis - Perolehan kontrak daripada Enauta Energia S.A memberi lebih fleksibiliti kepada Yinson Holdings Bhd. untuk memperuntukkan modal dan sumber dengan lebih baik bagi pengurusan projek.
Semalam, Yinson menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Yinson Acacia Ltd. menerima surat hasrat (LOI) daripada Enauta Energia S.A bagi penyediaan, operasi dan penyelenggaran kemudahan terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) di medan Atlanta, Lembangan Santos di luar pesisir Brazil.
Nilai agregat bagi projek itu dianggarkan berjumlah AS$505 juta (termasuk perjanjian operasi dan penyelenggaraan selama 2 tahun) dengan kenaikan selanjutnya kepada AS$1.98 bilion (termasuk tempoh lanjutan selama 5 tahun) sekiranya Yinson melaksanakan pilihan saranan itu.
Dalam nota kajian, penganalisisnya, Steven Chan berpandangan positif dengan penerimaan LOI ini kerana struktur kontrak yang unik iaitu jualan dan pajakan semula FPSO daripada Enauta berbanding kontrak charter konvensional.
Katanya, ini dapat memberi kelebihan dari segi fleksibiliti kepada Yinson yang turut mempunyai beberapa projek yang sedang berjalan di Brazil.
"Pada asasnya, dari perspektif Yinson, sebahagian besar modal ekuiti projek hanya perlu dikeluarkan kira-kira 2 tahun kemudian selepas penukaran FPSO selesai dan setelah melaksanakan pilihan saranan untuk menjalankan kontrak charter," katanya hari ini.
Baca : Yinson raih kontrak Enauta, cadang terbitan bonus
Sementara itu, Chan berkata, tiada apa yang mengejutkan dalam cadangan terbitan hak boleh lepas dengan anggaran hasil kasar kira-kira RM1.1 bilion sehingga RM1.22 bilion kerana ia telah diberi panduan sebelum ini.
Hasil terbitan tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan modal (capex) bagi projek baharu FPSO, bayaran semula pinjaman bank, langkah pengembangan dalam tenaga diperbaharui dan perniagaan teknologi hijau serta modal kerja.
"Selain itu, syarikat juga mengumumkan terbitan bonus satu-untuk-satu yang sepatutnya tidak menjejaskan asas syarikat selain meningkatkan kecairan saham.
"Tanpa sebarang perkara tidak dijangka, langkah ini dijangka selesai pada suku kedua 2022," jelasnya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Yinson dengan harga sasaran pada RM7.35 sesaham.
"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada penilaian kami memandangkan nilai kontrak bagi projek LOI Atlanta itu berada dalam julat anggaran kami.
"Di samping itu, penilaian kami juga telah mengambil kira 15% pencairan asas saham yang timbul daripada terbitan hak, walaupun ini mungkin tertakluk kepada perubahan, bergantung pada harga kuantum akhir," katanya.
Setakat 12.13 tengah hari, harga saham Yinson menokok 16 sen atau 2.85% kepada RM5.77 dengan 597,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








