KUALA LUMPUR 10 Mac - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memperuntukkan zakat wakalah sebanyak RM107,800 untuk disumbangkan kepada seramai 250 pelajar asnaf dalam usaha membantu meringankan beban persiapan memasuki sesi persekolahan tahun ini.
Sumbangan berupa barangan keperluan sekolah seperti baju, stokin, kasut sekolah, alat tulis dan wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang disalurkan kepada 200 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai serta 50 pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Bangsar South.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Back To School’ itu juga sebagai tanda keprihatinan syarikat membantu golongan asnaf dalam menyediakan kemudahan pembelajaran kepada pelajar-pelajar sekolah majoritinya kategori miskin bandar yang memerlukan bantuan pelbagai pihak.
Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, program CSR seumpama itu membuktikan bahawa agensi-agensi kerajaan sentiasa peka dan komited dengan keperluan masyarakat.
“Pernas juga telah beberapa kali melaksanakan inisiatif CSR bersama SMK Seri Pantai yang merupakan sekolah angkat Pernas dengan menyumbang kepada pihak sekolah bagi menambah baik infrastuktur bilik-bilik khas di sekolah tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir dalam program tersebut, Ketua Pegawai Kewangan Pernas, Mohammad Akmal Md Husin; Pengetua SMK Seri Pantai, Faridah Akhma Zulkifli dan Pengetua SRA Ar-Rahah, Ustazah Azzah Mohd Amir.


Tambah Hazimah, usaha murni itu diharap dapat membantu pihak sekolah dalam menyediakan persekitaran kondusif kepada murid-murid agar dapat menjalani sesi pembelajaran dengan lebih selesa.

Selain Program ‘Back To School’, Pernas yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai beberapa inisiatif CSR yang akan dilaksanakan pada tahun ini bagi membantu golongan memerlukan. - DagangNews.com








