Permohonan URUS dilanjutkan sehingga 31 Mac | DagangNews Skip to main content

Permohonan URUS dilanjutkan sehingga 31 Mac

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 25 Jan - Tarikh akhir penghantaran permohonan bagi Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan atau URUS dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022 daripada 31 Januari 2022. 

 

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, pelanggan B50 layak yang memerlukan lanjutan bantuan kewangan boleh memohon untuk URUS dengan bank mereka sehingga 31 Mac ini.

 

Ia berkata, pelanggan individu yang berada di bawah program bantuan pembayaran balik sedia ada disediakan oleh bank pada 30 September 2021 dan memenuhi semua kriteria yang ditetapkan boleh memohon URUS. 

 

Katanya, kriteria berkenaan ialah pelanggan B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan RM5,880 atau lebih rendah; mereka yang kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus dan masih melunaskan pembayaran kemudahan pinjaman/pembiayaan (tidak tertunggak melebihi 90 hari) pada tarikh permohonan URUS. 

 

Tambahnya, pelanggan layak yang ingin memohon URUS boleh berbuat demikian melalui saluran perbankan internet atau perbankan telefon bank mereka atau datang terus ke cawangan. 

 

"Bagi memudahkan proses permohonan, pelanggan yang mempunyai kemudahan pinjaman/pembiayaan daripada beberapa bank hanya perlu memohon kepada mana-mana bank mereka yang mana mereka kini mempunyai kemudahan di bawah program bantuan pembayaran balik sedia ada," katanya. 

 

Di samping itu, ia berkata, bagi pelanggan B50 layak yang telah mendaftar untuk program bantuan banjir bank, tarikh tutup permohonan URUS telah dilanjutkan kepada 31 Julai 2022 atau selepas tamat tempoh program bantuan banjir, yang mana lebih awal. 

 

Untuk butiran lanjut, pemohon boleh merujuk Soalan Lazim mengenai URUS yang boleh didapati di laman web bank dan di cawangan mereka, serta di persatuan perbankan dan laman web AKPK. 

 

"Bank kekal komited untuk membantu pelanggan mereka dalam tempoh yang mencabar ini, dan sedar bahawa pelanggan memerlukan masa untuk bangkit semula dari segi kewangan apabila ekonomi beransur pulih. 

 

"Pelanggan yang masih memerlukan bantuan kewangan tetapi tidak layak untuk URUS digalakkan untuk menghubungi bank mereka untuk bincangkan pengaturan pembayaran balik lain yang boleh disesuaikan dengan keadaan kewangan mereka. 

 

"Kami ingin mengingatkan pelanggan agar tidak terbabit dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mereka ejen/wakil bank berkaitan urusan bantuan pembayaran balik. Bank dan AKPK tidak melantik atau memberi kuasa mana-mana pihak ketiga atau ejen untuk bertindak bagi pihak mereka untuk tujuan ini," katanya. -DagangNews.com