Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Nov - Bursa Malaysia Securities mempersoalkan pergerakan luar biasa saham BSL Corp. Bhd. selepas ia melonjak mencecah rekod setinggi RM2.43 dalam sesi dagangan pagi ini.
Setakat 3.31 petang ini, harga sahamnya menokok 53 sen atau 28.34% kepada RM2.40 dengan 7.47 juta saham diniagakan.
"Oleh itu, pelabur diminta mengambil perhatian terhadap respon syarikat berhubung pertanyaan mengenai aktiviti luar biasa pasaran (UMA) yang mana akan dikeluarkan di laman web Bursa Malaysia di bawah pengumuman syarikat apabila ia membuat keputusan pelaburan.
"Merujuk kepada perkara berkenaan dan bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan, anda (BSL Corp.) diminta untuk memberi maklum balas, selepas membuat siasatan sewajarnya dengan pengarah, pemegang saham utama dan orang lain yang berkaitan, kepada pertanyaan berikut dengan serta-merta untuk siaran umum dalam selaras dengan Perenggan 9.11 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR)," jelas makluman berkenaan di Bursa Malaysia hari ini.
Secara dasarnya, harga saham BSL Corp. mula melonjak sejak 3 September lalu daripada serendah 61 sen.
Pada pertengahan September lalu, syarikat mengumumkan cadangan langkah korporat untuk meningkatkan penyertaannya dalam industri semikonduktor, dengan menjangkakan sektornya diklasifikasi semula kepada Teknologi-Semikonduktor tidak lama lagi.
Pengeluar bahagian logam ketepatan dan papan litar bercetak ini berada dalam kategori sektor Produk dan Perkhidmatan Perindustrian Bursa Malaysia.
BSL Corp. dilaporkan mahu meningkatkan penglibatannya dalam sektor semikonduktor menerusi cadangan pengambilalihan 'kepentingan kawalan' dalam SD Unify Pte Ltd. yang berpangkalan di Singapura, yang membuat dan memperbaiki peralatan faundri semikonduktor.
Sebelum itu, pada 6 September lalu, ia turut mengumumkan memeterai memorandum persefahaman selama 3 bulan untuk mengadakan rundingan bagi pembelian ekuiti yang tidak dinyatakan secara spesifik dalam SD Unify sebagai jumlah pertimbangan yang akan dipersetujui kemudian.
Ia merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bahagian semikonduktor sedia ada menerusi penempatan persendirian.
Sejak itu, BSL Corp. mendapati harga sahamnya mula melonjak sehingga 30% sebanyak 2 kali dalam satu hari iaitu 6 dan 13 September.
Ini menyebabkan Bursa Malaysia turut mempersoalkan pergerakan luar biasa harga saham dan volum syarikat pada 13 September lalu. - DagangNews.com








