KUALA LUMPUR 16 Jan - Pembukaan semula sempadan China dilihat sebagai pemangkin untuk aktiviti perdagangan luar dan pelancongan Malaysia, demikian menurut MIDF Research.
Firma itu mengunjurkan eksport dan import Malaysia masing-masing berkembang 9.2% dan 9.5% pada 2023 berbanding 27.1% dan 32% pada 2022.
Menurutnya, ratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Mac 2022 dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada Oktober lalu akan meningkatkan prestasi perdagangan luar Malaysia untuk 2023 dan tahun-tahun seterusnya.
"Pertumbuhan import China khususnya dijangka meningkat secara berterusan untuk menyokong aktiviti ekonomi tempatan yang bertambah baik.
"Bagaimanapun, pertumbuhan eksport dijangka mengalami beberapa cabaran berikutan permintaan global yang lemah akibat kesan dasar monetari yang semakin ketat," katanya dalam nota kajian hari ini.
MIDF Research berkata, pada masa hadapan, jangkaan pasaran dan Bank Dunia meramalkan pemulihan ekonomi China dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 4%.
Jelasnya, kesan daripada langkah yang kurang ketat boleh dilihat dalam aliran bulan ke bulan dalam prestasi perdagangan luar China.
Eksport China mengembang 7.8% tahun ke tahun pada 2022 berbanding 36.8% setahun lalu manakala import meningkat 2% berbanding 30.6% pada 2021.
Pertumbuhan import yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh beberapa siri sekatan yang dikenakan sepanjang tahun.
Eksport China menyusut dengan ketara pada Disember apabila permintaan global mereda sementara import turut merosot semula apabila jangkitan COVID-19 yang meningkat dan kemerosotan harta tanah memberi kesan kepada permintaan domestik, mencetuskan risiko kepada pemulihan ekonomi negara tahun ini. - DagangNews.com








