KUALA LUMPUR 6 April - Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) mendedahkan bahawa peratusan rakyat Malaysia yang menggunakan tunai untuk membuat pembayaran turun 11% kepada 78% daripada 89% sebelum pandemik.
Kaji selidik 'PayNet Digital Payments Insights Study 2022' yang dikeluarkan hari ini menunjukkan, rakyat Malaysia masih lagi menggunakan tunai bagi pembayaran, namun jumlah itu semakin menurun sama seperti negara-negara lain.
"Rakyat Malaysia semakin kurang menggunakan tunai dalam pembayaran harian (48.4%) dan kurang di kawasan bandar (36.2%), kemungkinan disumbang oleh peningkatan pembayaran QR selain kepercayaan terhadap kad kredit.
"Mereka juga dipercayai bimbang untuk menggunakan pembayaran tunai kerana dibimbangi akan mudah dijangkiti virus," katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.
PayNet berkata, perniagaan di seluruh negara kecuali di Pantai Timur dan selatan, mengalami perubahan dalam tingkah laku pembayaran pelanggan sejak pandemik, dengan tunai tidak lagi menjadi kaedah pembayaran utama manakala di wilayah Utara menunjukkan perubahan paling ketara.
Laporan itu juga mengetengahkan keutamaan transformasi digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan halangan yang dihadapi dalam melaksanakan pembayaran digital dan menyenaraikan empat pemacu utama bagi mengekalkan pembayaran digital.

Kaji selidik itu membentangkan dapatan daripada kajian lapangan dalam suku keempat 2021 untuk mendapatkan pemahaman mendalam mengenai keutamaan pembayaran orang ramai dan perniagaan dengan tumpuan khusus kepada relevan penggunaan tunai dan penerimagunaan pembayaran digital oleh PKS.
Ketua Pegawai Eksekutif PayNet Group, Peter Schiesser berkata, ia merupakan kajian sulung pihaknya merancang melaksanakan lebih banyak kajian pada masa hadapan bagi memahami sikap rakyat Malaysia.
"Lebih banyak kajian akan dilakuka bagi meningkatkan pemahaman mengenai tingkah laku pembayaran rakyat, sikap yang memacu perubahan dalam keutamaan pembayaran, bagi memastikan PayNet dan ekosistemnya mengekalkan infrastruktur pembayaran pusat yang selamat, cekap, diyakini dan inklusif bagi Malaysia," katanya.
Bagi maklumat lanjut mengenai laporan itu, boleh layari https://paynet.my/publications/Digital-Payments-Insights-Study-2022.pdf. - DagangNews.com








