Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Telekom Malaysia Berhad (TM) dilihat mampu menikmati penjimatan masa hadapan operasinya susulan perancangan untuk terus melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada tahun berikutnya.
CGS-CIMB Research memberitahu, kumpulan berkenaan sudah membuat perancangan untuk terus melaksanakan VSS pada tahun-tahun akan datang di bawah program transformasi TM Baharu.
"Jangkaan perolehan sesaham (EPS) pada suku kedua 2021 adalah dalam jangkaan, turun 23% berbanding suku lalu disebabkan oleh musim yang lemah dan kos pelaksanaan VSS.
"Bagi kami, ia adalah positif kerana secara strukturalnya perkara ini akan membantu menurunkan kos kumpulan pada masa hadapan," jelas CGS-CIMB Research.
Susulan pelaksanaan VSS bagi tempoh suku kedua 2021, margin pendapatan sebelum faedah, pajak, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) syarikat berkenaan susut 2.9% mata berbanding suku sebelumnya kepada 37.2%.
TM merekodkan perolehan sebanyak RM586.4 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021, meningkat 15.3% tahun ke tahun disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan yang konsisten (+8.2% yoy).
Situasi berkenaan disokong oleh prestasi pendapatan yang lebih tinggi bagi semua perkhidmatan selain daripada perkhidmatan yang tidak berkait dengan telekomunikasi.
Jumlah pelanggan jalur lebar TM meningkat kepada 2,555 ribu pelanggan, meningkat 14.7% tahun ke tahun.
Susulan itu, MIDF Research mengambil keputusan untuk tidak mengubah unjuran perolehan kerana prestasu kewangan pada separuh pertama 2021 adalah sesuai dengan jangkaan.
"Kami kekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak RM1,126.0 juta, RM1,153.7 juta dan RM1,222.2 juta.
"Kami juga kekalkan saranan 'beli' saham TM dengan harga sasaran sesaham (TP) yang sama iaitu RM6.91. - DagangNews.com








