KUALA LUMPUR 12 Okt - Peranan pengetua dan guru besar dalam konteks pengurusan sekolah agama amat penting dalam menerajui kepimpinan sekolah serta melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni.
"Ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam, termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, beliau bersama-sama hampir 400 orang pengetua dan guru besar serta pegawai KPM dalam Majlis Perasmian Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM ke-6 tahun 2022 di Subang Jaya.
Tambah beliau, beliau memberi peringatan bahawa generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat.


"Apabila diberi amanah, laksanakan sebaiknya demi memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak.

"Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pengetua dan guru besar SMKA dan SABK. Semoga terus istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan," katanya. - DagangNews.com








