KUALA LUMPUR 22 Dis - Penjimatan RM11.01 bilion bagi projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan perbandingan Kos Pembangunan Keseluruhan (TDC) antara projek itu yang dilancarkan pada 2017 (ECRL 1.0) dan projek yang sedang berjalan pada masa ini (ECRL 3.0).
Kementerian Pengangkutan berkata, TDC untuk ECRL 1.0 adalah berjumlah RM85.97 bilion merangkumi kos pembinaan sebanyak RM66.78 bilion dan kos pembangunan lain seperti Faedah Semasa Pembinaan (IDC), pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM19.19 bilion.
Katanya, TDC untuk ECRL 3.0 yang sedang dalam pembinaan kini dianggarkan berjumlah RM74.96 bilion, terdiri daripada kos pembinaan yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak RM50.27 bilion manakala kos pembangunan lain seperti IDC, pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan dan perbelanjaan mengurus, berjumlah RM24.69 bilion.
"Justeru, perbezaan TDC antara ECRL 1.0 dan ECRL 3.0 menghasilkan penjimatan sebanyak RM11.01 bilion bagi projek ECRL sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri semalam," katanya di sini hari ini.
Seperti penjelasan Perdana Menteri, kos keseluruhan ECRL 3.0 mengalami sedikit peningkatan berbanding ECRL 2.0 dengan kos keseluruhan RM66.02 bilion.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan, kos pembinaan ECRL 3.0 yang lebih rendah itu dicapai melalui beberapa siri rundingan semula kontrak ECRL yang dimuktamadkan pada 2019 dan 2022.
Katanya, beberapa faktor termasuk pelaksanaan Kejuruteraan Nilai (VM) yang menyeluruh dan penjajaran semula landasan ECRL pada Seksyen C (Temerloh-Serendah Pelabuhan Klang) menyumbang kepada pengurangan kos pembinaan keseluruhan projek berkenaan.
Tambahnya, kos pembinaan sebanyak RM50.27 bilion membolehkan rakyat Malaysia kini menikmati Projek ECRL yang ditingkatkan nilainya bagi perkhidmatan penumpang dan kargo iaitu pembinaan rel sepanjang 665km dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, pembinaan 20 stesen, pembinaan Serendah Bypass yang melancarkan pergerakan kargo dari utara serta pemanjangan rel dari Stesen Jalan Kastam ke kedua-dua terminal Westport dan Northport.
"Kementerian ingin menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan untuk memastikan Projek ECRL dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat dan negara sebagaimana dirancang," katanya. - DagangNews.com








