KUALA LUMPUR 12 Dis - Kebolehpasaran para graduan dapat ditingkatkan ke peringkat global melalui penguasaan bahasa Inggeris, kata Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim.
Beliau berkata, tahap penguasaan bahasa pengantar antarabangsa itu kini menunjukkan penurunan dengan ketara.
"Tahap penguasaan bahasa Inggeris telah banyak menurun. Sebagai contoh, semasa temu duga kerja terdapat banyak graduan yang berprestasi rendah.
"Dalam persidangan antarabangsa juga menyaksikan beberapa pihak dari Thailand dan Indonesia pernah mengusulkan pertanyaan tersebut kepada kami," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMS ke-24, semalam.
Azman berkata, terdapat ramai graduan yang tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Jelasnya, semasa temu duga, graduan tidak boleh berkomunikasi, menerangkan atau bercakap dengan betul menggunakan bahasa Inggeris.
“Kekurangan yang ada ini menyebabkan mereka kehilangan peluang pekerjaan," katanya.
Beliau turut menyifatkan graduan yang menguasai bahasa Inggeris pada tahap maksimum sebagai graduan yang berpeluang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan.
Beliau berkata, pada setiap majlis graduasi, ribuan graduan baharu yang diraikan dan seterusnya mereka akan membuat permohonan kerja pada mana-mana syarikat.
Menurutnya, graduan yang menguasai bahasa Inggeris mempunyai peluang lebih luas kerana mereka tidak terhad di dalam Malaysia sahaja, tetapi juga di peringkat global.
Katanya, graduan ini juga akan lebih cenderung diambil untuk bekerja oleh syarikat-syarikat swasta yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris.
Tambah beliau, bahasa inggeris merupakan bahasa yang harus dipelajari semua orang semenjak dari kecil lagi. - DagangNews.com








