KUALA LUMPUR 31 Mei - Selepas menandatangani perjanjian melantik CMH Group sebagai pengedar kenderaan Proton di Afrika Selatan pada April 2022, Proton membuat penghantaran pertama ke negara itu pada 27 Mei 2022.
Stok penghantaran itu terdiri daripada Proton X50, Proton X70 serta Proton Saga, dan ia juga merupakan hantaran yang pertama ke negara itu semenjak 2012.
Kapal yang mengangkut kenderaan itu berlepas dari Westport, Klang, dan dijangka tiba di Durban, Afrika Selatan, pada Julai 2022.
Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, penghantaran itu adalah satu lagi pencapaian yang penting bagi Proton pada tahun 2022.
"Afrika Selatan merupakan pasaran yang matang dengan banyak pesaing tetapi kami yakin Proton X50, Proton X70 dan Saga mempunyai kombinasi ciri-ciri dan nilai untuk wang yang mencukupi untuk bersaing di sana.
"CMH Group sedang berusaha untuk menyediakan rangkaian pengedaran mereka dan kami merancang untuk melancarkan model kami pada akhir suku ketiga tahun ini. Pada minggu lepas, beberapa ahli pengurusan CMH Group telah melawat Malaysia untuk bermesyuarat bersama Proton serta melawat pengedar dan kilang di Tanjung Malim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, penambahan jualan eksport Proton pada tahun 2022 adalah kerana peningkatan permintaan sebanyak 77% dan 31% bagi Proton X50 dan Proton X70.
Bagi suku pertama tahun ini, jumlah keseluruhan eksport telah bertambah sebanyak 175% berbanding dengan tempoh yang sama pada 2021 dan kadar penumbuhan itu dijangka akan terus naik kerana syarikat mempunyai sasaran untuk menambah jualan sebanyak 300%.
Untuk mencapai sasaran itu, operasi pemasangan tempatan (KD) perlu diperluaskan. Buat masa kini, operasi sedang berjalan di Pakistan, Kenya dan Bangladesh dengan Sri Lanka bakal sertai senarai negara pada separuhtahun kedua 2022.
Bagi tiga tahun sebelum ini, Proton telah menambahkan pegangan jumlah bagi kenderaan eksport Malaysia dari 12.8% pada tahun 2019 ke 30.2% pada 2020 dan 61.0% pada 2021 walaupun banyak halangan akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, penambahan jualan eksport amat penting bagi Proton jika ingin mencapai sasaran jangka masa panjang.
"Syarikat perlu memasuki lebih banyak pasaran baru untuk meningkatkan lagi jumlah jualan, dan kami telah membuat pelaburan di Tanjung Malim dan bagi operasi luar negara untuk memastikan kami dapat menyambut sebarang peluang yang bakal diterima,” katanya. - DagangNews.com








