Penggabungan perniagaan TM dijangka selesai menjelang 31 Disember 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penggabungan perniagaan TM dijangka selesai menjelang 31 Disember 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan penyusunan semula peringkat dalaman melibatkan pemindahan perniagaannya di Malaysia menjadi sebuah entiti operasi tunggal dikenali TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech), dijangka diselesaikan menjelang 31 Disember 2023.

 

Ia merangkumi Unifi, TM One dan TM Wholesale, menandakan fasa seterusnya transformasi Kumpulan TM untuk menjadi pemacu digital Malaysia dan meningkatkan lagi kecekapan operasinya, memperkemas proses serta memudahkan pusat interaksi dengan pelanggan bagi memberikan pengalaman pelanggan lebih lancar.

 

Menggabungkan perniagaannya di bawah TM Tech juga mengukuhkan kepimpinan TM dalam Konvergens Mudah Alih-Tetap, menawarkan jalur lebar tetap bersepadu, perkhidmatan mudah alih, perkhidmatan data, kandungan digital dan penyelesaian inovatif kepada komuniti, perniagaan serta kerajaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, menyatukan perkhidmatan sambungan dan penawaran digital akan membolehkan pihaknya memanfaatkan kombinasi penyelesaian terbaik dengan mudah untuk memenuhi keperluan unik gaya hidup setiap individu dan perniagaan.

 

“Tambahan pula, penyusunan semula ini menyelaraskan kami dengan amalan terbaik industri dan meningkatkan kelebihan daya saing TM dalam kalangan syarikat telekomunikasi serta pemain digital di Malaysia dan antarabangsa, sambil kami terus memenuhi aspirasi menjadi sebuah syarikat teknologi (TechCo) berteraskan insan yang terkemuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Di bawah TM Tech, pengguna akan menikmati sambungan semua-dalam-satu yang terpantas dan terluas serta kandungan digital.

 

Segmen perusahaan dan sektor awam juga akan mendapat manfaat daripada penyelesaian digital dan pintar TM, termasuk awan dan pusat data, keselamatan siber dan penawaran industri pintar. 

 

Entiti operasi itu juga akan terus menerajui usaha pembinaan negara dalam memperluaskan dan memodenkan rangkaian gentian negara, pusat-pusat data dan sistem kabel dasar laut.

 

Imri berkata, warga TM akan kekal sebagai enjin pelaksanaan untuk TM dan transformasi digital negara. 

 

"Walaupun tenaga kerja kami akan diselaraskan semula dengan entiti operasi tunggal ini, fungsi, kelayakan dan faedah mereka akan kekal tanpa sebarang perubahan," katanya.

 

Katanya, semua perjanjian bersama rakan usahasama, vendor dan perjaniian perkhidmatan TM juga akan kekal termaktub seperti sedia ada. 

 

TM kini akan berkhidmat sebagai syarikat pemegangan pelaburan untuk entiti operasi ini, dan tiada sebarang perubahan pada semua anak syarikat lain dalam Kumpulan TM. - DagangNews.com