Pengembangan portfolio, vaksin Sinovac dijangka lonjakkan prestasi Pharmaniaga bagi FY22 - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengembangan portfolio, vaksin Sinovac dijangka lonjakkan prestasi Pharmaniaga bagi FY22 - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Feb - Prestasi kewangan Pharmaniaga Bhd. dijangka terus kukuh berikutan pengembangan portfolio kumpulan selain jualan vaksin COVID-19 Sinovac bagi tahun kewangan 2022 (FY22), menurut MIDF Research. 

 

Firma itu berkata, sasaran kumpulan untuk berkembang dalam pasaran baharu terbukti menerusi penubuhan kemudahan halal vaksin pertama dunia dan insulin, yang dijangka berada dalam landasan untuk dikomersialkan menjelang 2025.

 

Katanya, pasaran insulin menyaksikan permintaan yang semakin meningkat di negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana jangkaan kes diabetes Jenis 2 berkembang seiring dengan penggunaan gula global telah meningkat dari tahun ke tahun.

 

Malah, ia dijangka meningkat lebih 170 juta tan metrik seiring teknologi pertanian yang lebih baik dan peningkatan ketersediaan gula.

 

"Ini secara tidak langsung menyediakan prospek yang cerah bagi pasaran halal insulin di negara-negara berkenaan. 

 

"Di samping itu, Pharmaniaga turut bekerjasama dengan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia untuk membekalkan dan mengedarkan ubat Hepatitis C ke hospital dan klinik, yang akan memberi sumber pendapatan lebih baik kepada kumpulan dalam tempoh terdekat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Pharmaniaga mencatat keuntungan bersih sebanyak RM85.45 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih yang dialaminya pada tahun kewangan 2020 berjumlah RM6.33 juta. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 12% kepada RM711.72 juta berbanding RM634.58 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Baca : Jualan Sinovac pacu prestasi kewangan Pharmaniaga bagi FY21 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), untung bersih kumpulan meningkat kepada RM172.15 juta daripada RM27.49 juta manakala pendapatan turut meningkat 77% kepada RM4.82 bilion berbanding RM2.73 bilion bagi tempoh sama 2020.

 

Prestasi lebih baik ini terutamanya disumbangkan menerusi jualan vaksin Sinovac kepada Kementerian Kesihatan dan sektor swasta.

 

Menurut MIDF Research, vaksin Sinovac sememangnya terbukti menyediakan peluang keemasan kepada kumpulan untuk meningkatkan dan mengekalkan daya tahan prestasi kewangannya.

 

"Kami percaya dengan jangkitan Omicron yang semakin berleluasa di peringkat global, permintaan vaksin Sinovac juga akan terus meningkat sebagai dos penggalak dan vaksin yang digunakan untuk kanak-kanak.

 

"Setakat (laporan tersebut ditulis) ini, kira-kira 42% daripada populasi di negara ini sudah menerima dos penggalak, justeru, menyediakan peluang yang lebih luas kepada Pharmaniaga untuk meningkatkan lagi penggunaan vaksinnya," jelasnya.

 

Mengambil kira prestasi Pharmaniaga yang melebihi jangkaan, firma itu menyemak semula unjuran pendapatan lebih tinggi bagi FY22 dan FY23. 

 

Selaras dengan perubahan itu, harga sasaran juga disemak lebih tinggi kepada RM1.03 berbanding RM1 sebelum ini, ditambat kepada 7x nisbah harga kepada pendapatan (PER) kepada semakan semula pendapatan sesaham (EPS) FY22 sebanyak 14.7 sen.

 

Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pharmaniaga dan berpendapat kumpulan mampu mengharungi ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19.

 

"Rekod yang positif dalam vaksinasi, bekalan perubatan dan pengedaran di samping pembangunan dan penyelidikan berteknologi tinggi beserta kemudahan pengeluaran terus menjadikan Pharmaniaga sebagai saham pilihan utama kami," tambahnya.  

 

Setakat 10.07 pagi ini, harga saham Pharmaniaga menokok 5 sen atau 6.58% kepada 81 sen dengan 11.8 juta saham diniagakan. - DagangNews.com