KUALA LUMPUR 25 Mei - Kenanga Research menyemak turun harga sasaran (TP) TSH Resources Bhd. kepada RM1.90 daripada RM2.08, sebaliknya mengekalkan pandangan 'outperform'.
Ini berikutan untung bersih teras kumpulan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 sebanyak RM64 juta, berada di bawah jangkaan firma merangkumi 9%, meskipun melebihi konsensus pada 24%.
Menurutnya, pengeluaran buah tandan segar (BTS) pada suku berkenaan mencatat prestasi mengecewakan dengan susut 13% tahun ke tahun, tetapi pendapatan kumpulan disokong harga minyak sawit mentah yang lebih kukuh sebanyak RM4,779 satu tan metrik.
Katanya, pengeluaran buah tandan segar (BTS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dijangka lemah kerana TSH telah menjual ladang kelapa sawit matang seluas 3,001 hektar yang menghasilkan kira-kira 4,000 hingga 6,000 tan metrik BTS sebulan.
"Walaupun kedua-dua ladang sawit di Sabah tidak dijual, tetapi hasil buah berkemungkinan akan berkurangan kerana dua per tiga daripada kawasan yang ditanam memerlukan penanaman semula.
"Bagaimanapun, dengan penjualan ladang itu, TSH boleh mempercepatkan penanaman ladang kelapa sawit baharu di Kalimantan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM337.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 38% daripada RM244.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Untung bersih juga melonjak kepada RM101.86 juta daripada RM15.56 juta berikutan harga produk minyak sawit yang lebih tinggi dan keuntungan RM53.1 juta daripada pelupusan ladang dan kilang minyak sawit yang sebahagiannya mengimbangi jumlah jualan yang lebih rendah.
Kenanga Research mengekalkan harga purata minyak sawit mentah TSH sebanyak RM4,500 satu tan metrik untuk FY22 manakala RM4,000 bagi FY23, tetapi kos dinaikkan yang mencerminkan levi dan duti eksport yang lebih tinggi di Indonesia.
"Namun begitu, kami menjangkakan harga minyak sawit mentah akan menurun berikutan musim pengeluaran yang tinggi pada separuh kedua tahun ini.
"Harga minyak sawit mentah bagaimanapun dijangka kekal kukuh ekoran pasaran minyak boleh dimakan global yang ketat," tambahnya.
Dengan mengambil kira kos yang lebih tinggi, firma itu menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 9% dan 12%.
Setakat 9.57 pagi ini, harga saham TSH susut 1 sen atau 0.69% kepada RM1.43 dengan 903,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








