Pengeluaran khas KWSP dianggar cecah RM31.5 bilion, beri kesan kepada aliran dana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran khas KWSP dianggar cecah RM31.5 bilion, beri kesan kepada aliran dana

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Mac - Pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat kali keempat seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, dijangka mencecah sehingga RM31.5 bilion, demikian menurut penganalisis.

 

Anggaran yang dibuat CGS-CIMB Research itu berdasarkan 3 skim pengeluaran sebelum ini yang menyaksikan kadar pengambilan dalam kalangan pencarum sekitar 52 hingga 82%. 

 

"Oleh itu, berdasarkan anggaran Kementerian Kewangan kepada Parlimen (Isnin lalu) sebanyak RM63 bilion dikeluarkan dan mengandaikan kadar pengambilan 50%, kami mengunjurkan potensi nilai pengeluaran KWSP kali ini kepada RM31.5 bilion, berdasarkan senario ini.

 

"Ini boleh memberi kesan kepada aliran dana negara, dengan kemungkinan berlaku jualan bersih yang lebih tinggi daripada dana institusi tempatan.

 

"Keadaan ini disebabkan keperluan KWSP untuk meningkatkan kecairan bagi pengeluaran oleh ahli-ahlinya," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mendapati, sehingga 15 Mac 2022, pelabur institusi tempatan merupakan penjual bersih ekuiti tempatan dengan aliran jualan bersih sebanyak RM5.6 bilion, berbanding 2021, sebanyak RM12.1 bilion.

 

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan berita gembira apabila bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 bagi membantu pencarum yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion membabitkan 7.34 juta pencarum sejak wabak itu melanda negara 2 tahun lalu.

 

 

Baca : KWSP RM10,000 dibenarkan, PM rayu pencarum kekalkan simpanan kecuali terdesak

 

Baca : Pengeluaran RM10,000 adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas KWSP

 

Permohonan untuk pengeluaran khas itu akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April 2022 dan berakhir pada 30 April 2022, manakala tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April 2022.

 

Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, dan perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.

 

Bagaimanapun, menurut CGS-CIMB, pengeluaran khas tersebut dapat membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna terutama menjelang Hari Raya Puasa, di sebalik kenaikan harga barang ekoran harga komoditi, pengangkutan dan buruh yang lebih tinggi.

 

"Sektor pengguna, pelancongan dan penjagaan kesihatan dijangka mendapat manfaat daripada perbelanjaan domestik yang tinggi dan juga didorong pembukaan semula sempadan pada 1 April ini," jelasnya.

 

Dalam pada itu, AmInvestment Bank Research berkata, pengeluaran KWSP itu akan memberi kesan positif kepada sektor pengguna kerana kecairan tambahan mungkin akan menyusut, memacu permintaan untuk barangan pengguna dan memberi sokongan lanjut kepada perbelanjaan pengguna dalam tempoh terdekat.

 

Namun begitu, katanya, kesannya mungkin lebih rendah berbanding pengeluaran sebelum ini memandangkan peningkatan beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi.

 

Pada masa sama, tambahnya, bilangan pencarum yang masih bergelut dari segi ekonomi akibat wabak mungkin semakin berkurangan manakala yang lain tidak membuat pengeluaran tambahan yang tidak perlu daripada simpanan persaraan mereka.

 

"Selain itu, selepas membuat beberapa pengeluaran dalam tempoh 2 tahun lalu, pengguna mungkin memerlukan sedikit masa untuk menambah simpanan mereka. Oleh itu, tidak banyak pencarum akan membuat pengeluaran kali ini," katanya. - DagangNews.com