Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Mac - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research positif terhadap keputusan FTSE Russell untuk menyingkirkan Malaysia dari Senarai Pemerhatian dan mengekalkan negara sebagai konstituen Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).
Dua penganalisis di firma itu, Michelle Chia dan Lim Yee Ping menjangkakan situasi itu akan memberi suntikan sentimen berjangka pendek buat pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).
“Perkembangan ini menyingkirkan ‘overhang’ negatif di pasaran bon Malaysia,” jelas mereka dalam nota kajian hari ini.
Menerusi pengumuman semalam, FTSE Russell turut mengesahkan penyertaan bon kerajaan China di dalam WGBI secara berfasa dalam tempoh masa 36 bulan, bermula 29 Oktober 2021.
Ini akan menyaksikan negara itu memegang wajaran (weight) sebanyak 5.25%, menyebabkan pencairan wajaran Malaysia daripada 0.39% kepada 0.37%.
“Dengan kira-kira AS$2.5 trilion jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) WGBI, wajaran baharu itu menunjukkan pemotongan bersih pemegangan MGS berkaitan WGBI sebanyak AS$0.5 bilion atau RM2 bilion, atau RM57 juta setiap bulan berdasarkan tempoh 36 bulan.
“...Ini bersamaan 0.5% MGS tertunggak dan 1.1% pegangan asing MGS,” tambah nota kajian itu lagi.
FTSE Russell mula memasukkan Malaysia ke dalam Senarai Pemerhatian sejak Mac 2019, di mana berpotensi untuk disingkirkan dari WGBI.
Baca : Malaysia tidak tersingkir dari Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE
Penyingkiran Malaysia dari senarai itu ‘menyahkan’ risiko negara diklasifikasikan semula dari Tahap 2 Kebolehcapaian Pasaran, iaitu syarat minimum untuk dimasukkan ke dalam WGBI.
Sejak itu, UOB Research pula mendedahkan, aliran masuk asing terkumpul ke dalam bon kerajaan Malaysia berjumlah RM41.6 bilion di mana April hingga Disember 2019 mencatatkan nilai RM15.6 bilion, 2020 (RM17.2 bilion) dan Januari hingga Februari 2021 (RM8.8 bilion).
“Pemegangan bon kerajaan Malaysia oleh pelabur asing meningkat kepada 24.7% pada Februari 2021 daripada 21.9% pada April 2019.
“Ini menunjukkan bahawa bon kerajaan Malaysia masih menarik dan disokong oleh asas makro yang stabil,” jelas Ahli Ekonomi Kanan, Julia Goh dan Ahli Ekonomi, Loke Siew Ting di UOB Research dalam nota kajian berbeza.
Tambah mereka, beberapa perkara penting yang akan diperhatikan termasuk penerbitan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia dan Laporan Kestabilan Kewangan 2020 (BNM) pada 31 Mac (esok).
Selain itu, turut diperhatikan mesyuarat dasar monetari BNM pada 6 Mei, terbitan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2021 (1Q21) dan semakan penarafan berdaulat oleh S&P pada Jun depan.
Sementara itu, Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM) melihat perkembangan berkenaan sekali gus mengiktiraf pelbagai inisiatif ketara yang dilaksanakan sejak dua tahun kebelakangan ini, di bawah kepimpinan BNM.
Presidennya, Chu Kok Wei bagaimanapun menegaskan bahawa kemasukan China dan pertimbangan ke atas kemasukan pasaran lain merupakan peringatan buat Malaysia bahawa tiada ruang untuk berpuas hati dan negara perlu terus menambah baik dan progresif.
“FMAM akan tekun dalam usaha kami untuk mengembangkan pasaran kewangan Malaysia. Walaupun kami bersaing dengan sengit antara satu sama lain, kami bersatu dalam tujuan bersama untuk mengembangkan saiz dan kepentingan pasaran kewangan Malaysia.
“Keseimbangan yang baik ini telah memberikan hasil yang positif setakat ini, dan kami akan meningkatkan usaha,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. - DagangNews.com








