Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Dis - Kenanga Research mengekalkan panggilan 'Neutral' terhadap sektor penjagaan kesihatan dengan IHH Healthcare menjadi saham pilihan utamanya.
Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Research berkata, untuk pemilihan saham, pihaknya 'lebih suka' IHH berdasarkan merit pasaran yang kukuh di lokasi pertumbuhan, penguasaan kedudukan pasaran khususnya di Singapura, Malaysia dan Turki, dan pengurusan yang kukuh.
"Kami mengekalkan saranan 'Market Perform' ke atas pemain industri ini dengan harga sasaran (TP) masing-masing sebanyak IHH RM6.65 sesaham, KPJ RM1.01 dan Pharmaniaga RM0.74 sesaham," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambahnya, IHH Healthcare telah menunjukkan pemulihan pendapatan yang kukuh berikutan pemulihan kepada keuntungan yang disokong oleh kedua-dua operasi India dan Acibadem yang lebih cepat daripada jangkaan dengan mencatatkan keuntungan suku tahunan keempat berturut-turut pada 3QFY21.
Katanya, di tempat lain, permintaan terpendam dan peningkatan perniagaan rantau Eropah Timur Tengah (CEE) ditambah pula dengan penyahgunaan pendedahan hutang bukan lira juga telah mengurangkan kos kewangan Acibadem.
"Walau bagaimanapun, kenaikan harga yang mendadak telah menjadikan penilaian semasa dinilai secara saksama, yang nampaknya telah melebihkan harga prospek jangka pendek yang positif," katanya.
Dalam pada itu Kenanga berkata, kekurangan pemangkin penarafan semula KPJ dan hospital baharu yang masih dalam tempoh 'gestation' boleh terus menjadi penghalang kepada pendapatan kumpulan.
"Oleh itu, kami mengulangi panggilan 'Market Perform' terhadap ketiga-tiga IHH, KPJ dan Pharmaniaga," katanya.
Sementara itu bagi Pharmaniaga, Kenanga berkata, walaupun mencatatkan keuntungan besar pada 3QFY21, pihaknya tidak menjangkakan pertumbuhan keuntungan bersih bagi 4QFY21 memandangkan kebanyakan penghantaran vaksin telah selesai pada 3QCY21.
Katanya, majoriti penerima Sinovac telah menerima dos kedua mereka antara Jun dan September, oleh itu, keperluan untuk dos penggalak berpotensi akan bermula dari Disember dan seterusnya. -DagangNews.com


