Pembelian tanah di Bentong, kukuhkan lagi portfolio pembangunan hartanah LBS Bina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian tanah di Bentong, kukuhkan lagi portfolio pembangunan hartanah LBS Bina

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Julai - CGS-CIMB Research menjangkakan pembelian tanah di Bentong, Pahang akan mengukuhkan lagi portfolio pembangunan hartanah LBS Bina Group Bhd. 

 

Menurut firma itu, kedudukan kawasan tersebut adalah strategik berdekatan pusat peranginan terkenal, Genting Highlands, Genting Premimum Outlet, Awana Genting Golf Course dan Gohtong Jaya. 

 

Selain itu, katanya, ia juga terletak berhampiran dengan apartmen perkhidmatan LBS Midhills dan Hotel SCAPES.

 

"LBS menganggarkan kawasan tersebut mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM9 bilion, diterjemahkan kepada nisbah kos kepada GDV tanah yang rendah sebanyak 1%, di bawah paras ambang indusri, 20%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baru-baru ini, LBS melalui anak syarikatnya, Casa Inspirasi Sdn Bhd bercadang untuk membangunkan projek pembangunan bercampur dengan GDV lebih RM9 bilion di Genting Highlands.

 

Pemaju hartanah itu menerusi Casa Inspirasi telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSKP) untuk memperoleh tanah pajakan seluas lebih 120 hektar pada harga RM97.845 juta.

 

Pembangunan yang bakal dibina itu terdiri daripada pangsapuri servis, rumah teres dua tingkat, rumah bandar, banglo dan institusi pendidikan serta kemudahan awam seperti sekolah dan hospital yang berdekatan.

 

Menurut CGS-CIMB, LBS merancang untuk membiayai pembelian tanah itu menerusi dana dalaman atau pinjaman.

 

"Kami menganggarkan nisbah penggearan bersihnya akan meningkat sebanyak 6% daripada 60% setakat akhir Mac 2022 selepas mengambil kira pembelian tanah ini," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap LBS tetapi mengurangkan harga sasarannya kepada 51 sen daripada 74 sen sebelum ini. 

 

"Semakan harga sasaran ini mengambil kira sentimen pasaran yang lemah dan kebimbangan kenaikan kadar faedah dan juga inflasi," jelasnya. - DagangNews.com