Pembeli terus bertahan mendepani peningkatan harga hartanah di Malaysia walaupun landskap ekonomi mencabar – PropertyGuru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembeli terus bertahan mendepani peningkatan harga hartanah di Malaysia walaupun landskap ekonomi mencabar – PropertyGuru

Gambar hiasan
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pembeli terus bertahan menghadapi peningkatan harga hartanah di Malaysia walaupun landskap ekonomi yang mencabar, kata PropertyGuru Malaysia.

 

Memetik data daripada Laporan Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMR) suku ketiga 2023, firma itu berkata pertanyaan hartanah di laman webnya merosot 10.2% suku ke suku (QoQ), sejajar dengan data terkini Bank Negara Malaysia (BNM), di mana permohonan pinjaman perumahan menurun 11% QoQ pada Jun.

 

Ini mungkin disebabkan Indeks Harga Jualan yang meningkat 2.1% QoQ, mencerminkan kenaikan berterusan harga permintaan untuk hartanah yang disenaraikan.

 

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata permintaan hartanah terus menyaksikan penurunan bagi suku keempat berturut-turut pada suku kedua 2023, di mana ia terus menunjukkan jurang ketara antara permintaan dan harga hartanah.

 

 

xczs

 

 

“Dengan kadar pinjaman semasa yang masih lebih rendah daripada kadar sebelum COVID iaitu 3.25%, kami berharap permintaan akan mula meningkat kerana inflasi Malaysia semakin mereda,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Memandangkan nilai hartanah di pusat bandar terus meningkat, Sheldon berkata pembeli rumah mengalihkan tumpuan kepada pinggir bandar, seperti Taman Connaught di Cheras dan Pandan Indah di Ampang, yang menawarkan hartanah dengan nilai dan faktor ketersambungan yang setanding pada harga lebih rendah.

 

Sementara itu, pasaran hartanah Johor dijangka menyaksikan pertumbuhan yang lebih tinggi, dipacu oleh Sistem Transit Rapid (RTS) yang disasarkan mula beroperasi pada 2026 dan potensi projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dihidupkan semula.

 

Manakala dua projek perumahan bertanah yang paling banyak dilihat adalah Leisure Farm, Johor dan Country Heights Kajang, Selangor.

 

“Berikutan penurunan permintaan pembelian, Indeks Permintaan Sewa mencatatkan kemerosotan 11.3% QoQ, disebabkan kenaikan harga sewa yang melebihi bajet ramai bakal penyewa, seperti yang digambarkan oleh kenaikan 4.9% QoQ dalam Indeks Harga Sewa dalam tempoh yang sama,” katanya.

 

 

Sheldon Fernandez
Sheldon Fernandez

 

 

Pada masa yang sama, Indeks Bekalan Sewa menyaksikan lonjakan 13.1%, mencerminkan pertambahan jumlah pemilik hartanah yang masih optimis dengan pemulihan berkala ekonomi serta pertambahan peluang pekerjaan yang dibawa oleh pelaburan asing.

 

Di samping itu, kedua-dua penjual dan pengguna dilihat menantikan bantuan kerajaan berikutan pengumuman inisiatif Ekonomi Madani memandangkan Dasar Perumahan Negara (DRN) akan dikaji semula agar sejajar dengan rangka kerja Malaysia Madani.

 

"Dalam usaha kerajaan menerajui usaha pemulihan, kami berharap Bajet 2024 akan menggariskan strategi-strategi terperinci untuk mengembalikan keyakinan terhadap program perumahan awam.

 

“Polisi lebih bersasar dalam memastikan akses yang lebih baik kepada hartanah, seiring dengan pemantauan pasaran yang cekap, akan dapat membantu rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka,” tambah Sheldon. - DagangNews.com