KUALA LUMPUR 5 Okt - Pelaburan terkumpul aset tetap negara atau Stok Modal Kasar (SMK) mencatatkan peningkatan sebanyak 2.8% kepada RM5.4 trilion pada 2022, manakala Stok Modal Bersih (SMB) yang menggambarkan kekayaan ekonomi Malaysia merekodkan RM3.4 trilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik stok modal disusun dan diterbitkan mengikut jenis aktiviti ekonomi dan jenis aset.
Beliau berkata, SMB mencatat pertumbuhan sebanyak 2.4% pada tahun 2022 berbanding 1.8% pada tahun sebelumnya.
Katanya, ia sejajar dengan pemulihan Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) yang pulih kepada 6.8% pada tahun 2022 berbanding penurunan marginal 0.8% pada tahun sebelumnya.
"Secara keseluruhan, kesemua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif kecuali perlombongan & pengkuarian yang menyusut marginal 0.02%, lebih baik daripada negatif 0.3% pada tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan media Perangkaan Stok Modal 2022 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai prestasi SMB mengikut jenis aktiviti ekonomi, nilai aset tetap dalam sektor perkhidmatan adalah yang terbesar berbanding aktiviti ekonomi lain dengan nilai RM2.3 trilion dan menyumbang 68.6% pada tahun 2022.
Sektor itu mencatat pertumbuhan 3% disokong oleh peningkatan bagi aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan & minuman dan penginapan dan utiliti masing-masing mencatatkan 7.5%, 7.3% dan 7.1%.

SMB bagi sektor pembuatan berjumlah RM395.2 bilion, berkembang 2.7% berbanding 1.5% pada 2021 didorong oleh subsektor pembuatan makanan, minuman dan tembakau meningkat 6.1% berbanding 4.1% pada 2021.
Ini diikuti oleh produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka meningkat kepada 3% berbanding 1% pada 2021 dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik, 2.9% berbanding
1.9% pada tahun 2021.
Selain itu, stok modal bersih bagi sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 3.4% daripada 3.5% pada tahun sebelumnya, manakala stok modal bersih bagi sektor pertanian mencatat pertumbuhan sederhana, 0.6% daripada 0.9% pada tahun 2021.
Pertumbuhan yang sederhana bagi SMB sektor pertanian ini adalah selari dengan prestasi pelaburan aset tetap bagi sektor pertanian yang menunjukkan penurunan 8.9% pada 2020 dan 3.8% pada 2021 serta sedikit peningkatan sebanyak 0.2% pada tahun 2022.
Mohd Uzir menambah, perolehan aset tetap mengikut jenis aset diterajui oleh struktur yang menyumbang 80.9% dan merekodkan pertumbuhan 2.7% pada 2022 berbanding 2.5% pada 2021.
"Ini diikuti oleh aset jentera dan peralatan dengan sumbangan 10.9%, menunjukkan peningkatan 1.5% berbanding penyusutan 1.9%pada tahun sebelumnya. Sementara itu, aset lain menyumbang 8.1% dengan pertumbuhan 0.7% pada tahun 2022.
"Komposisi aset Malaysia adalah sama dengan negara-negara lain, seperti Korea Selatan dan Singapura," katanya. - DagangNews.com








