KUALA LUMPUR 30 Mei - Pelabur runcit muncul sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan sekali lagi sebanyak RM135.1 juta bagi minggu berakhir 27 Mei 2022.
Pada minggu lalu, pelabur asing dan institusi tempatan kembali menjual ekuiti tempatan, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research.
Kali terakhir pelabur runcit menjadi pembeli bersih tunggal ekuiti adalah pada minggu berakhir 15 April lalu.
"Pelabur asing menjual bersih ekuiti minggu lalu yang menyaksikan aliran keluar sebanyak RM83 juta.
"Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal menjual ekuiti buat minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM52.1 juta," katanya.
Setakat ini, dana antarabangsa merupakan pembeli bersih ekuiti selama 16 daripada 21 minggu dengan aliran masuk sebanyak RM6.92 bilion.
Bagaimanapun, mereka menjual ekuiti pada Isnin dan Selasa sebanyak RM199 juta sebelum membeli semula ekuiti pada Rabu hingga Jumaat, sebanyak RM116 juta.
MIDF Research mendapati pelabur institusi tempatan menjadi penjual bersih sepanjang minggu kecuali Selasa, kerana mereka hanya membeli RM87.1 juta.
"Aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Jumaat lalu sebanyak RM77.6 juta. Setakat ini mereka telah menjual RM8.16 bilion ekuiti tempatan," jelasnya.
Sementara itu, pelabur runcit pula membeli ekuiti setiap hari pada minggu lalu kecuali Rabu, dengan menjual RM260,000 ekuiti dengan pembelian paling banyak direkodkan pada Selasa lalu sebanyak RM75.9 juta.
"Mereka setakat ini telah membeli ekuiti tempatan sebanyak RM1.24 bilion selama 13 minggu daripada 21 minggu," katanya.
Firma itu berkata, semua kategori pelabur menunjukkan penurunan nilai purata dagangan harian (ADTV) sepanjang minggu lalu.
Pergerakan pelabur asing menurun 19.7% diikuti pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing sebanyak 6.5% dan 17.5%. - DagangNews.com








