IPOH 29 Mac - Purata sebanyak 11,000 aduan berkaitan pelbagai kerosakan infrastruktur diterima Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB) dalam setahun untuk diambil tindakan berdasarkan arahan kerja.
Antara aduan yang kerap terima seperti jalan berlubang, longkang tersumbat dan longkang runtuh.
PEISB merupakan konsesi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penyelenggaraan jalan negeri dan infrastruktur berkaitan melibatkan 12 daerah dalam negeri Perak.
Skop kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh PEISB meliputi selenggaraan jalan berlubang, pemotongan rumput, perabut jalan, culvert serta jambatan dan longkang.
Pengurus Besar PEISB, Saiful Azzuan Aznam berkata, dalam tempoh empat tahun lalu pihaknya menerima dan menyelesaikan sebanyak 38,318 aduan pengguna.
Menurut beliau, setiap aduan tersebut kemudian dikategorikan sama ada sebagai aduan rutin, berkala atau kecemasan.
Semua aduan akan diproses mengikut prosedur yang telah ditetapkan sebagaimana kontrak.

"Aduan Rutin misalnya akan dilaksanakan mengikut kitaran atau dipercepatkan daripada kitaran.
"Bagi aduan berkala, PEISB akan menyediakan kertas kerja (notice of defect) dalam tempoh tujuh, 14 atau 21 hari bergantung pada anggaran nilai kerosakan.
"Seterusnya dimajukan kepada pihak PBT untuk kelulusan. Penyelesaian aduan juga bergantung kepada peruntukan.

"Untuk aduan kecemasan, PEISB akan memastikan dalan tempoh satu jam jalan dapat dilalui atau trafik dialihkan bagi memastikan pengguna boleh melalui jalan tersebut.
"Pembaikan kepada aduan tersebut bergantung kepada arahan kerja dari PBT," ujarnya.
Menjelaskan lebih lanjut kata Saiful Azzuan, PEISB menerima aduan melalui telefon, WhatsApp atau pengadu datang terus ke pejabat.

Selain itu katanya, aduan terus dari pihak PBT turut diterima menerusi bentuk laporan dan melalui Sistem Pengurusan Aduan Aawam (SISPAA).
"PEISB mempunyai sistem aduan tersendiri iaitu Sistem Pengurusan Maklumat Penyelenggaraan Bersepadu (CMMS).
"Majlis Bandaraya Ipoh pula mempunyai sistem MyAduan dan PBT lain mempunyai sistem SISPAA sebagai medium penyimpanan aduan," ujarnya. - DagangNews.com








