Dahulu saya pernah berangan, bahawa apabila tiba usia bersara, saya akan menyulam ketenangan di beranda rumah, membaca hikayat lama dan menulis catatan kecil tentang hidup yang panjang.
Namun hidup, seperti juga sejarah bangsa, jarang sekali menurut skrip yang kita rangka dari awal. Kini, sebagai seorang warga emas, dan setelah diuji dengan serangan angin ahmar yang mengubah seluruh tubuh dan rentak hidup, saya masih menulis. Masih membaca. Masih menjadi ketua eksekutif kepada syarikat penerbitan kecil yang lahir daripada darah dan dakwat saya sendiri.
Kerana saya percaya — bersara bukan pengakhiran. Bukan juga titik diam. Tetapi satu peralihan; dari kerja kepada karya, dari pejabat kepada pemikiran. Walaupun tubuh saya tidak lagi sekuat dahulu, fikiran saya tetap ingin berjalan jauh, menyusur waktu dan menyapa generasi muda dengan warisan ilmu yang tidak akan lekang ditelan usia.
Namun, tidak semua seangkatan dengan saya bernasib serupa. Ramai teman seperjuangan kini tenggelam dalam resah dan kekurangan. Dana persaraan mereka mengecil, harapan mereka menipis. Malaysia, tanah tumpah darah kita, sedang menua – dan bersama itu, simpanan kita juga menyusut.
Warga Menjadi Tua, Wang Menjadi Sempit
Tatkala umur semakin panjang, harapan untuk hidup selesa di usia senja sepatutnya mengembang. Namun yang berlaku sebaliknya. Statistik menjadi saksi – jangka hayat rakyat Malaysia kini menghampiri 75 tahun untuk lelaki dan 79 tahun untuk wanita.

Menjelang 2050, usia purata dijangka mencapai 81 tahun. Namun, apakah makna panjang umur jika ia dibayar dengan susah payah dan kesunyian dompet yang kosong?
Simpanan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini semakin parah. Ketika pandemik melanda, lebih RM145 bilion dikeluarkan oleh lebih 8 juta rakyat yang terdesak. Kini, hampir separuh pencarum berusia 55 tahun ke bawah hanya mempunyai kurang RM10,000 dalam akaun mereka.
Sedangkan untuk hidup secara sederhana selepas bersara, paling kurang RM1,500 diperlukan setiap bulan. Maka, RM360,000 diperlukan untuk menyambung hidup selama dua dekad selepas umur 60.
Saya hanya sempat menyimpan seadanya. Mujurlah saya terus menulis dan menerbitkan, sekadar mencukupkan hidup dan menanggung kos perubatan sebagai orang kurang upaya.
Tetapi yang lain? Ramai sahabat saya tidak lagi mampu membeli ubat atau membaiki atap rumah yang bocor.
Sistem yang Melelahkan Rakyat
Malaysia, seperti banyak negara membangun lain, masih bergantung pada sistem caruman tertakrif (defined contribution) melalui KWSP. Ertinya, pencen rakyat bergantung kepada jumlah yang mereka dan majikan simpan selama bekerja. Tiada jaminan pembayaran tetap selepas bersara, kecuali untuk sebilangan kecil penjawat awam lama yang masih menikmati pencen manfaat tertakrif (defined benefit).
Namun, dengan kadar kelahiran yang terus menurun — hanya 100,732 bayi dilahirkan pada suku kedua 2024, turun lebih 10% — bilangan pencarum dan pembayar cukai akan semakin susut. Ini memberi tekanan besar kepada dana pencen negara. Nisbah cukai kepada KDNK Malaysia pula hanya 12.6%, jauh di bawah purata Asia Pasifik dan OECD.
Ertinya, kita tidak mempunyai cukup cukai untuk menyokong sistem pencen negara yang lestari. Kita sedang menua sebagai bangsa tanpa payung cukup lebar untuk berlindung bersama.

Cerminan dari Dunia Luar
Saya pernah menjejak kaki di 41 buah negara. Di Eropah, seperti Jerman dan Belanda, sistem pencen mereka berlapis-lapis — ada sumbangan individu, ada jaminan negara, ada simpanan korporat.
Di New Zealand, tempat saya menuntut ilmu dahulu, setiap warga emas diberi pencen asas oleh kerajaan, tidak kira mereka pernah bekerja atau tidak. Prinsip mereka mudah: tua bukan satu beban, tetapi amanah negara.
Manakala di negara-negara miskin di Afrika, yang pernah saya lawati semasa kerja kemanusiaan, kebanyakan warga emas bergantung sepenuhnya pada anak cucu atau nasib. Ada yang tidur di pondok usang, makan sekadar sisa, dan mati tanpa penawar.
Malaysia belum seteruk itu, tetapi jika tiada pembaharuan, jurang antara harapan dan kenyataan akan terus melebar.
Pembaharuan yang Diperlukan
Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada sistem lama. Kita memerlukan perubahan radikal — bukan sekadar pada struktur pencen, tetapi pada cara kita melihat warga emas.
Pertama, pendidikan kewangan mesti dimulakan sejak muda. Anak-anak muda perlu diajar bukan sahaja tentang pelaburan, tetapi juga tentang kesederhanaan dan perancangan jangka panjang.
Kedua, insentif simpanan perlu diperkukuh — padanan caruman, pelepasan cukai, dan program simpanan sukarela boleh mendorong lebih ramai untuk menyimpan lebih awal.
Ketiga, kita boleh mencontohi model Singapura — CPF Life — yang menggabungkan simpanan individu dengan pembayaran bulanan sepanjang hayat. Ini memberi ketenangan kepada pesara bahawa mereka tidak akan kehabisan wang walau umur mencecah 90 tahun.
Keempat, dan paling penting, ialah membangunkan jaringan keselamatan sosial yang lebih padu — rumah jagaan warga emas yang bersepadu, subsidi kesihatan, dan komuniti prihatin yang tidak meminggirkan mereka yang uzur dan bersendirian.

Dari Simpanan kepada Sumbangan Ilmu
Saya sendiri, selepas strok yang hampir meragut nyawa, tidak lagi dapat bekerja seperti dulu. Tetapi saya menolak untuk menjadi beban. Dengan izin Tuhan, saya terus menulis. Saya membaca setiap hari walaupun penglihatan sudah kabur.
Saya masih mengetuai syarikat kecil yang menerbitkan buku-buku ilmu dan kisah kehidupan, supaya anak muda dapat belajar daripada pengalaman generasi kami.
Kerana simpanan yang paling kukuh bukanlah wang, tetapi ilmu yang dikongsi. Dalam dunia yang semakin digital ini, pesara seperti saya masih boleh menyumbang — sebagai mentor, penulis, pendidik tidak rasmi, atau bahkan sebagai pengulas dasar awam.
Bukan Sekadar Hidup, Tetapi Memberi Erti
Ada yang bertanya kepada saya, "Mengapa terus menulis sedangkan sudah bersara dan uzur?"
Jawapan saya mudah — kerana hidup ini tidak seharusnya sekadar bertahan. Ia mesti memberi makna. Jika saya mampu memberi walau sedikit sinar kepada mereka yang datang selepas saya, maka hidup ini masih berbaloi.
Saya tidak meminta banyak. Cukuplah jika anak-anak muda negara ini dapat memahami bahawa persaraan bukan noktah, dan warga emas bukan sampah. Kami pernah berjuang. Kami masih ingin berguna.
Malaysia yang kita cintai ini memerlukan sistem yang bukan sahaja menjaga simpanan rakyat, tetapi juga mengiktiraf nilai pengalaman dan kebijaksanaan mereka yang telah lama menabur bakti.
Jika usia panjang adalah satu anugerah, maka biarlah negara ini menjadi tempat yang meraikan usia senja, bukan menolaknya ke tepi jalan.

Sebagai warga emas yang masih menulis dari kekadang balik kerusi roda, saya ingin menyeru: reformasi sistem pencen bukan sekadar isu kewangan.
Ia adalah soal maruah. Soal masa depan. Soal bagaimana sebuah bangsa menghargai mereka yang pernah mencurahkan keringat untuk membinanya.
Semoga warkah kecil ini menjadi peringatan — bahawa tidak semua yang bersara mahu berhenti. Dan tidak semua yang tua ingin dilupakan. - DagangNews.com








