Rekod Pelaburan RM378.5 bilion: Malaysia perlu rebut peluang Kepengerusian ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rekod Pelaburan RM378.5 bilion: Malaysia perlu rebut peluang Kepengerusian ASEAN

Oleh Mohd Shariff Mohd Fadhli

Baru-baru ini, dilaporkan pelaburan yang diluluskan untuk tahun 2024 di Malaysia telah mencapai angka tertinggi yang direkodkan sehingga kini, iaitu sebanyak RM378.5 bilion.

 

Pelaburan domestik telah mencecah sebanyak RM208.1 bilion (iaitu 55% daripada jumlah keseluruhan), manakala pelaburan asing telah mencecah RM170.4 bilion, atau 45%.

 

Sumber pelaburan asing terbesar adalah Amerika Syarikat, Jerman, China, Singapura, dan Hong Kong. Dari sudut peluang pekerjaan, sebanyak 207,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan melalui pelaburan ini.

 

 

parafrasa

 


Mengapa statistik pelaburan ini penting?

Pertamanya, pelaburan domestik yang agak besar ini wajar dialu-alukan, terutamanya dalam era ketidaktentuan geopolitik yang semakin ketara kerana ia menunjukkan bahawa Malaysia sentiasa boleh menarik pelaburan domestik.

 

Tambahan pula, ia menunjukkan bahawa syarikat tempatan kita masih sanggup melabur, dan yakin dengan dasar-dasar ekonomi Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Keduanya, walaupun pelaburan yang diluluskan ini diterajui oleh sektor perkhidmatan (iaitu sebanyak RM252.7 bilion dan bakal mewujudkan sebanyak 110,083 pekerjaan baharu, dengan 67.9% daripada angka ini bersumberkan pelaburan domestik), berita bahawa pertumbuhan ini diterajui oleh subsektor maklumat dan komunikasi turut menggalakkan.

 

Menurut kenyataan media Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), subsektor ini telah menarik sebanyak 53.8% daripada keseluruhan pelaburan sektor perkhidmatan.

 

Perkara ini tidaklah mengejutkan jika kita mengambil kira bahawa Malaysia telah menyaksikan pembangunan pusat data yang pesat, dan ia turut mencerminkan pendigitalan pelbagai sektor ekonomi negara kita seperti pertanian, kesihatan, kewangan, pelancongan dan juga ekonomi digital Islam, sekali gus membuktikan fokus Kerajaan Madani dalam menggalakkan pertumbuhan sektor teknologi yang kini membuahkan hasil.

 

Kenyataan MIDA tersebut juga menekankan pelaburan besar dalam beberapa projek teknologi hijau, termasuk sebuah ladang solar di Kulim oleh NUR Renewables yang bernilai sebanyak RM250 juta, serta pelaburan sebanyak RM500 juta oleh syarikat Singapura, iaitu YCH Group, dalam Supply Chain City Bukit Raja di Selangor.

 

Sementara itu, 82.2% daripada 88,000 pekerjaan perkilangan baharu yang diwujudkan oleh pelaburan yang diluluskan sebanyak RM120.5 bilion akan dikhususkan untuk rakyat Malaysia.

 

Menariknya, sektor ini telah diterajui oleh pelaburan asing (iaitu sebanyak 73.8% atau RM88.9 bilion). Lebih-lebih lagi, 41.6% daripada pekerjaan baharu itu bernilai tinggi (atau 'high-value jobs'), termasuklah peranan pengurusan dan teknikal.

 

Tidak menghairankan bahawa industri elektrikal dan elektronik (E&E) telah menerima sebanyak 46.3% daripada pelaburan baharu, memandangkan peranan penting negara kita sebagai hab utama untuk industri tersebut. Secara langsung, ini turut bermaksud bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi yang lain akan terus memanfaatkan kita.

 

MIDA juga melaporkan bahawa lebih daripada 90% projek perkilangan yang diluluskan pada 2021 dan 2022 telah dilaksanakan. Untuk 2023 pula, 88.7% daripada projek yang diluluskan telah memasuki fasa pelaksanaan, manakala untuk 2024, angkanya berada pada 67.8%.

 

Gambaran keseluruhan ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja terus menarik pelaburan tempatan dan asing, malah menunjukkan bahawa pelaburan ini semakin bernilai tinggi dan mewujudkan pekerjaan yang bergaji tinggi.

 

 

parafrasa

 


Perang Dagang US-China

Perang dagang terkini antara Amerika Syarikat dan China tidaklah bermula dengan Donald Trump, dan tidak akan tamat dengannya. Oleh itu, dilema yang kononnya dihadapi Malaysia, termasuklah keperluan untuk memilih antara satu pihak atau yang lain, akan sentiasa wujud tanpa mengira sama ada penghuni White House datang daripada parti Demokrat atau Republikan.

 

Namun demikian, angka yang sedia ada jelas menunjukkan bahawa Malaysia kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan daripada setiap penjuru dunia.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa isu-isu akar umbi seperti kos sara hidup tetap perlu diperbaiki. Walau bagaimanapun, naratif "ekonomi dalam keadaan buruk" mungkin lebih kompleks dan, secara jujurnya, perlu dipandang dari perspektif jangka masa yang lebih panjang.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang diterajui oleh YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz, telah berjaya mencipta momentum pelaburan cemerlang ini dan wajar meneruskan usaha dalam membina hubungan bilateral dan multilateral serta kekal komited terhadap mempertahankan institusi antarabangsa yang melindungi kepentingan negara kecil dan sederhana seperti Malaysia.

 

Malaysia juga harus mengambil peluang sepenuhnya semasa tahun Kepengerusian ASEAN untuk mengukuhkan posisi ekonomi negara di peringkat antarabangsa.

 

Malaysia harus memimpin agenda ekonomi ASEAN dengan cara yang mampu memanfaatkan ekonomi kita, terutamanya dalam sektor-sektor yang penting untuk membina ketahanan ekonomi masa hadapan seperti teknologi hijau dan ekonomi digital.

 

Pada masa yang sama, keterangkuman semua segmen pemain ekonomi seperti industri kecil dan sederhana, keterlibatan wanita, dan penyertaan golongan belia harus terus diperkukuhkan dalam arus perdana ketika memimpin ASEAN.

 

Jangan sia-siakan Kepengerusian ASEAN ini. Ini adalah peluang keemasan untuk kita meneruskan momentum pelaburan yang tercipta.

 

Malaysia harus terus maju ke hadapan dalam memimpin agenda ekonomi serantau, supaya kita dapat menentukan hala tuju sendiri dan tidak ketinggalan serta sekadar menjadi Pak Turut. - DagangNews.com