Malaysia dan ASEAN perlu bersatu hadapi ancaman tarif Trump | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia dan ASEAN perlu bersatu hadapi ancaman tarif Trump

Oleh Mahathir Mohd Rahimi

Saudara Pengarang,

 

Saya tidak menganggap diri saya sebagai pakar geopolitik mahupun perdagangan—tetapi apabila ekonomi terbesar dunia mengenakan tarif sebanyak 24% ke atas sebuah ekonomi terbuka dan berasaskan perdagangan seperti kita, ia sememangnya membimbangkan.

 

Hakikatnya, kebanyakan negara kini turut merasai kesan daripada apa yang digelar sebagai “tarif Trump”, yang sedang menggoncang pasaran global.

 

Bagi para usahawan, pelabur dan pekerja Malaysia—khususnya yang terlibat dalam eksport ke Amerika Syarikat (AS)—beberapa hari kebelakangan ini sejak “Hari Pembebasan” pada 2 April 2025 pasti  pasti dirundung kegelisahan yang amat sangat.

 

Perlu diingat, AS telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015, dengan nilai perdagangan mencecah RM324.92 bilion pada tahun 2024.

 

Malah, AS juga merupakan pelabur asing terbesar negara pada tahun lalu, dengan jumlah pelaburan bernilai RM32.8 bilion.

 

Sekitar 60% daripada eksport kita ke AS adalah dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E)—di mana separuh daripadanya terdiri daripada segmen semikonduktor yang amat penting.

 

Segmen ini, sekurang-kurangnya buat masa ini, dikecualikan daripada tarif Trump dan ironinya, sebahagian besar daripadanya dihasilkan oleh syarikat-syarikat AS yang melabur di Malaysia.

 

Sebarang kemerosotan dalam hubungan ekonomi dengan AS berpotensi memberi kesan langsung terhadap pertumbuhan ekonomi negara, dan lebih membimbangkan—peluang pekerjaan rakyat.

 

Memandangkan hampir seluruh dunia turut terkesan, Malaysia tidak akan terkecuali memandangkan kita bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

 

Ringkasnya, apa sahaja yang menjejaskan perdagangan dan ekonomi global lambat-laun akan membawa impak negatif kepada kita.

 

Inilah barangkali sebabnya Malaysia, bersama negara-negara anggota ASEAN, memilih untuk mengutamakan diplomasi berbanding tindakan balas—kerana perang perdagangan global hanya akan merugikan semua pihak.

 

Cara kerajaan Madani menangani isu ini benar-benar meyakinkan saya, meskipun kita tahu hari-hari mendatang akan penuh dengan cabaran.

 

Segala lawatan antarabangsa dan misi perdagangan yang telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz sejak tahun 2022 kini ternyata memberi makna yang besar. Mereka telah merentas pelbagai benua—dari Hong Kong ke Peru.

 

Ada yang mempersendakan usaha tersebut, dan ada juga yang mengkritik kononnya ia membazirkan wang rakyat.

 

Namun saya yakin, kerajaan Madani telah lebih awal menyedari bahawa ketegangan geopolitik dan ekonomi antara AS dan China akan membawa kepada saat-saat seperti ini—dan mereka telah mula mempersiapkan Malaysia untuk mempelbagaikan hala tuju ekonomi.

 

Jangan lupa, tarif Trump hanya terpakai ke atas eksport Malaysia ke AS. Trump tidak berkuasa menghalang negara lain daripada terus berdagang antara satu sama lain.

 

Walaupun kita berharap agar penyelesaian yang adil dan rasional dapat dicapai, kita juga perlu bersedia untuk merombak dan membina semula struktur ekonomi dan hubungan perdagangan kita secara menyeluruh.

 

Inilah pentingnya strategi pempelbagaian: meneroka potensi bersama rakan sedia ada seperti China dan India, serta pasaran baharu seperti negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Amerika Latin.

 

Pada masa yang sama, pelbagai kerangka dasar ekonomi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan kini dilihat lebih mendesak dan berpandangan jauh.

 

Ini merangkumi bukan sahaja Ekonomi Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, tetapi juga Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional yang diterajui Tengku Zafrul.

 

Turut penting ialah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di bawah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof serta Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli.

 

Asas kepada usaha ini telahpun dibina oleh Nik Nazmi Nik Ahmad ketika beliau menerajui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim—dan kini menerajui kementerian baharu, Sumber Asli, Alam Sekitar dan Kelestarian (NRES)—di samping pelbagai pelan strategik lain yang saling melengkapi.

 

Segala inisiatif ini penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan relevan dalam ekonomi global. Ini lebih kritikal apabila persaingan pelaburan dan akses pasaran dijangka menjadi semakin sengit.

 

Keutamaan berterusan kerajaan Madani terhadap ASEAN juga amat tepat. Bukan semata-mata kerana Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, tetapi kerana rantau ini antara yang paling terkesan akibat dasar-dasar Trump.

 

Walaupun AS mungkin enggan berunding dengan ASEAN sebagai satu blok, kita tetap perlu menyelaraskan pendirian agar seragam dalam isu-isu utama. Suara tunggal ASEAN adalah ideal, namun jika itu sukar, kita tetap boleh menjadi satu korus yang harmoni.

 

Secara keseluruhan, kerajaan Madani boleh dikatakan telah melakukan yang terbaik untuk mempersiapkan negara menghadapi cabaran ini. Kita mesti terus kekal di landasan ini—dengan tenang dan yakin, bukan panik.

 

Jika kita berpecah, kita mudah menjadi mangsa kepada sesiapa dan apa sahaja. Tetapi jika kita bersatu, tiada apa yang mampu mengalahkan kita kecuali kelemahan kita sendiri.

 

Justeru, perpaduan adalah kunci—bukan sahaja di peringkat ASEAN, tetapi juga dalam negara kita sendiri. Memang wujud perbezaan politik dan ekonomi, namun para pemimpin telah berusaha sedaya upaya untuk merapatkan jurang yang ada.

 

Namun ini adalah waktu krisis. Jika kita terus berpecah belah, kita semua akan tumbang. Marilah kita bersatu—sebagai rakyat Malaysia dan juga warga ASEAN—kerana tiada cabaran yang tidak dapat diharungi, asalkan kita melangkah bersama. - DagangNews.com