Kerajaan disaran kaji perjawatan doktor veterinar awam di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan disaran kaji perjawatan doktor veterinar awam di Malaysia

Oleh Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam

Hari Veterinar Sedunia disambut setiap tahun pada hari Sabtu terakhir bulan April, dan tahun ini ia akan disambut pada 26 April 2025.

 

Tema sambutan tahun ini ialah “Kesihatan Haiwan Memerlukan Kerjasama Berpasukan” yang menekankan kepentingan doktor veterinar bekerjasama dalam  penyediaan perkhidmatan veterinar  yang berkualiti tinggi untuk memberi impak meluas merentas pelbagai sektor iaitu  manusia, haiwan dan alam sekitar.

 

Sebagai contoh, penyakit selsema burung atau Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI), sejenis penyakit zoonotik yang boleh merebak bukan sahaja kepada burung, tetapi juga mamalia dan manusia.

 

Kejadian penyakit ini di peringkat global telah membawa kesan yang amat mengejutkan dimana lebih daripada tiga juta ekor unggas telah dimusnahkan di United Kingdom dan sebanyak 166 juta ekor unggas di Amerika Syarikat (AS), mengakibatkan kenaikan mendadak harga telur dan kerugian kewangan yang besar. Selain ternakan ayam, wabak ini turut menjangkiti  lembu tenusu di AS, dan bertambah menjejaskan isu keselamatan makanan.

 

 

Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam
Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam

 

 

Sekiranya krisis seumpama ini berlaku di Malaysia, kesannya boleh menjadi bencana kepada industri ternakan yang dianggarkan bernilai RM18.8 bilion. 

 

Kini, doktor veterinar dari sektor awam dan swasta sedang gigih berusaha untuk mencegah penularan penyakit ini. Pemantauan berterusan dan kesiapsagaan  amat penting, begitu juga sokongan kerajaan.

 

Peruntukan yang mencukupi untuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bukan sekadar pilihan, tetapi keperluan untuk pencegahan penyakit yang berkesan dan intervensi awal.

 

Satu lagi cabaran dalam perubatan veterinar ialah rintangan terhadap antimikrob. Penyalahgunaan antimikrob dalam kedua-dua sektor kesihatan manusia dan haiwan boleh menyebabkan jangkitan yang rintang terhadap antimikrob, menjadikan rawatan kurang berkesan dan meningkatkan risiko kesihatan awam.

 

Doktor veterinar sedang bekerjasama rapat dengan pengeluar ternakan dan pihak berkepentingan bagi memastikan antimikrob digunakan secara bertanggungjawab dan berhemah. Ini termasuk pemantauan ketat merentasi rantaian makanan, dari ladang ke rumah penyembelihan sehingga ke pusat pemprosesan untuk mengekalkan produk makanan yang selamat dan bebas residu antimikrob.

 

Peranan doktor veterinar juga melangkaui ladang dan klinik untuk menangani  kesan pada alam sekitar secara global.

 

Menurut Food and Agriculture Organisation (FAO), sistem agromakanan global menyumbang kira-kira 16.2 bilion tan pelepasan setara karbon dioksida pada 2022, dengan pengeluaran daripada tanaman dan ternakan sahaja menyumbang hampir separuh daripadanya.

 

Doktor veterinar mempunyai kedudukan yang unik untuk membantu mengurangkan kesan ini melalui strategi yang meningkatkan produktiviti dan kesihatan haiwan. Ini termasuk memperkenalkan bahan tambahan makanan, pengurusan nutrien yang optimum, dan menggunakan kaedah pengendalian baja yang lebih baik seperti penghadaman anaerobik, pengkomposan, pengasingan dan rawatan, penyimpanan, serta penggunaan larva lalat.

 

Di Malaysia, permintaan terhadap protein haiwan, terutamanya daripada industri daging lembu dan tenusu semakin meningkat seiring dengan peningkatan pendapatan.

 

Doktor veterinar dalam sektor awam dan swasta memainkan peranan penting dalam meningkatkan perkhidmatan pembiakan, pemakanan dan penternakan untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran.

 

Namun begitu, semua usaha ini perlu disokong oleh dasar kerajaan yang kukuh dan berkesan demi memastikan pertumbuhan industri yang mampan dalam jangka panjang.

 

Kebajikan haiwan juga terus menjadi isu yang menyentuh hati masyarakat. Daripada pengurusan populasi haiwan berkeliaran kepada amalan penternakan yang beretika, doktor veterinar dilihat sebagai pelopor dalam memastkan kebajikan haiwan terjaga.

 

Kawalan haiwan berkeliaran masih menjadi cabaran berterusan di kawasan bandar. Untuk menanganinya, doktor veterinar harus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menerajui perbincangan mengenai cadangan peraturan yang lebih berkesan, penggubalan dasar, program latihan, dan kempen kesedaran masyarakat.

 

Ini termasuk mempromosikan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan pentingnya amalan pengkasian untuk mengawal pembiakan.

 

 

parafrasa

 

 

Peningkatan dalam bilangan klinik veterinar di Malaysia mencerminkan peningkatan pemilikan haiwan peliharaan dan perubahan dalam sikap orang ramai terhadap penjagaan haiwan kesayangan.

 

Walau bagaimanapun, permintaan perkhidmatan ini tidak seiring dengan penyediaan perkhidmatan yang lebih baik dengan tenaga profesional terlatih. Ramai doktor veterinar menghadapi kekurangan dana dan tenaga kerja, menjadikannya sukar untuk menyediakan piawaian perkhidmatan yang tinggi.

 

Kerjasama dengan institusi kewangan dan agensi kerajaan diperlukan untuk memudahcarakan pelaburan dalam infrastruktur klinik, peralatan dan program latihan. Ini akan membantu mempertingkatkan perkhidmatan agar memenuhi keperluan perkhidmtan veterinar yang semakin meningkat.

 

Di sebalik peranan penting mereka, doktor veterinar sektor awam di Malaysia masih menerima gaji yang rendah, walaupun telah menjalani latihan profesional selama lima tahun yang setanding dengan kelayakan doktor perubatan.

 

Gaji permulaan bulanan secara amnya lebih rendah berbanding doktor veterinar di negara seperti Singapura, China atau Korea Selatan. Perbezaan gaji ini telah mendorong ramai doktor veterinar bekerja di  klinik veterinar swasta  atau beralih ke bidang farmaseutikal dan komersial.

 

Untuk mengekalkan dan menarik bakat, Malaysia perlu segera melaksanakan kajian semula gaji secara menyeluruh, menyediakan laluan kerjaya yang jelas dan mewujudkan sistem pengiktirafan berdasarkan merit, dan bukan hanya terhad pada kekosongan jawatan.

 

Tenaga kerja doktor veterinar yang diberi ganjaran sewajarnya dan bermotivasi tinggi adalah penting demi kesihatan haiwan negara, keselamatan makanan, dan kesejahteraan awam.

 

Doktor veterinar adalah wira yang bekerja merentasi pelbagai sektor untuk melindungi haiwan, manusia, dan alam sekitar.

 

Sempena Hari Veterinar Sedunia ini, marilah kita menghormati komitmen mereka – dan yang lebih penting, menyokong mereka dengan dasar, pengiktirafan, dan sumber yang sewajarnya. - DagangNews.com

 

Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, Profesor di Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Taylor’s University. Beliau berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (2017-2020) dan sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (2020-2022).