Dalam era digital yang berkembang pesat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia tidak lagi wajar bergantung pada kaedah pengurusan tradisional.
Cabaran ekonomi yang semakin kompleks, persaingan yang semakin sengit serta perubahan tingkah laku pengguna memaksa PKS untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan teknologi terkini.
Salah satu pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah penerapan kecerdasan buatan (AI) dan e-Invois sebagai gabungan pintar dalam meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.
Teknologi AI menawarkan rumusan automasi serta analisis data yang canggih, manakala e-Invois pula mempercepat proses pembayaran serta mengurangkan kesilapan manusia dalam pengurusan kewangan.
PKS berperanan sebagai tunjang utama ekonomi negara dengan menyumbang lebih daripada 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat Malaysia. Namun begitu, masih ramai pemilik PKS bergantung pada proses manual dan usang, yang bukan sahaja menjejaskan kecekapan dan pertumbuhan tetapi turut meningkatkan risiko kewangan.
Penggunaan teknologi AI dan e-invois bukan sahaja memenuhi keperluan kawal selia bahkan membuka ruang bagi pendigitalan operasi perniagaan, mempercepat proses pembayaran, mengurangkan kos pentadbiran serta meningkatkan pematuhan cukai menerusi sistem yang lebih telus.
Kerajaan Malaysia komited dalam menyokong transformasi digital PKS menerusi pelbagai inisiatif, termasuklah penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) bagi memacu agenda kecerdasan buatan negara. Kerajaan menegaskan bahawa peralihan kepada e-Invois bukan sahaja menawarkan kelebihan daya saing, malah mampu memodenkan keseluruhan ekosistem kewangan negara.

Cabaran dalam Penerapan Teknologi oleh PKS
Walaupun potensi penggunaan teknologi AI dan e-Invois cukup besar, terdapat pelbagai cabaran yang menghalang penerimaannya dalam kalangan PKS.
Antara kekangan utama adalah seperti berikut:
1. Kekurangan Pengetahuan dan Kemahiran Teknologi
Masih ramai pemilik PKS tidak memahami sepenuhnya fungsi serta manfaat teknologi AI dan e-Invois. Kekurangan kemahiran teknologi dalam kalangan pekerja turut menyebabkan kebimbangan terhadap perubahan, yang akhirnya mewujudkan jurang pengetahuan yang perlu ditangani menerusi latihan dan pendidikan yang lebih menyeluruh.
2. Kos Pelaksanaan yang Tinggi
Pelaksanaan teknologi seperti AI dan e-Invois memerlukan pelaburan dalam perisian, latihan dan penyelenggaraan. Bagi perniagaan berskala kecil, kos ini mungkin dianggap sebagai beban kewangan yang tidak sepadan dengan hasil yang dijangkakan, lantas menyukarkan peralihan kepada teknologi baharu.
3. Gangguan Operasi dan Risiko Teknikal
Peralihan mendadak daripada sistem manual kepada sistem automasi berisiko menjejaskan kelancaran operasi harian, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan dan hubungan pelanggan. Risiko kesilapan teknikal atau gangguan sistem turut membangkitkan kebimbangan dalam kalangan pemilik PKS.
4. Keselamatan Data
Penggunaan sistem AI dan e-Invois melibatkan pemprosesan data perniagaan dan kewangan yang sensitif, sekali gus mendedahkan data tersebut kepada risiko serangan siber atau kebocoran maklumat. Kebimbangan terhadap penyalahgunaan data oleh pihak yang tidak bertanggungjawab turut menjadi faktor penghalang penerimaan teknologi ini.
5. Rintangan Budaya dan Sikap
Sebahagian besar usahawan masih selesa dengan kaedah tradisional dan menganggap teknologi baharu sebagai sesuatu yang kompleks dan mencabar. Sikap enggan berubah ini menghalang mereka daripada mencuba inovasi yang berpotensi meningkatkan produktiviti.
6. Ketidakpastian Pulangan Pelaburan (ROI)
Terdapat kebimbangan mengenai sama ada pelaburan dalam teknologi AI dan e-Invois akan memberikan pulangan yang sepadan dalam jangka masa panjang, menyebabkan kecenderungan untuk mengekalkan sistem sedia ada.
7. Integrasi dengan Sistem Tradisional
Bagi PKS yang telah lama beroperasi secara konvensional, proses menggabungkan teknologi moden tanpa menjejaskan kestabilan operasi sedia ada merupakan satu cabaran besar yang perlu ditangani dengan teliti.
Strategi Meningkatkan Penerimaan Teknologi
Bagi memastikan penerimaan teknologi AI dan e-Invois dalam kalangan PKS, beberapa langkah proaktif perlu diambil seperti berikut:
1. Program Pendidikan dan Latihan Teknologi
Kerajaan dan agensi berkaitan perlu menyediakan program latihan intensif serta bengkel khusus bagi meningkatkan literasi digital dalam kalangan usahawan dan pekerja.
2. Bantuan Kewangan dan Insentif
Kerajaan boleh menawarkan geran, subsidi atau skim pembiayaan bagi menampung kos pelaksanaan teknologi. Selain itu, kerjasama dengan syarikat teknologi bagi menyediakan pakej perisian dengan kos berpatutan wajar dipertimbangkan.
3. Peningkatan Kesedaran Keselamatan Data
Pembekal teknologi perlu memastikan pematuhan kepada standard keselamatan yang ketat, manakala latihan mengenai keselamatan siber harus dipergiatkan bagi meningkatkan kefahaman tentang risiko digital.
4. Promosi Kisah Kejayaan
Mengangkat kisah kejayaan usahawan yang berjaya mengadaptasi teknologi ini sebagai contoh inspirasi mampu meningkatkan keyakinan dalam kalangan usahawan lain.
Langkah Strategik
Penggunaan teknologi AI dan e-Invois dalam kalangan PKS merupakan langkah strategik dalam memastikan daya saing dan kelangsungan perniagaan dalam era digital.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran seperti kekurangan pengetahuan, kos pelaksanaan yang tinggi, kebimbangan keselamatan data dan rintangan budaya, penyelesaian strategik mampu mengatasinya.
Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti perniagaan amat diperlukan bagi mewujudkan ekosistem sokongan yang kukuh.
Melalui pendidikan berterusan, bantuan kewangan serta teknologi yang mesra pengguna dan selamat, transformasi digital dalam kalangan PKS dapat direalisasikan.
Transformasi digital bukan lagi sekadar pilihan, tetapi keperluan mendesak dalam dunia perniagaan moden yang semakin mencabar. - DagangNews.com
Muhamad Nasrullah Zamri adalah Pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak








