Serangan ulat bungkus merupakan ancaman besar industri sawit di Malaysia yang boleh memberi kesan serius terhadap hasil dan produktiviti sawit.
Spesies Metisa plana dikenal pasti sebagai perosak utama yang merosakkan daun kelapa sawit dengan memakan bahagian-bahagian daun yang seterusnya mengurangkan aktiviti fotosintesis dan hasil buah tandan segar (BTS).
Serangan ini boleh menyebabkan kerugian ekonomi kerana penurunan hasil tanaman secara langsung memberi kesan kepada pendapatan daripada pengeluaran kelapa sawit.


Kajian oleh Idris et al. (2017) menunjukkan bahawa serangan ulat bungkus yang teruk boleh mengurangkan hasil sawit sehingga 30%, bergantung kepada tahap serangan dan keadaan persekitaran ladang.
Berdasarkan pemerhatian data serangan tahunan dan kajian oleh Ahli agronomi menunjukkan bahawa serangan ulat bungkus khususnya spesies Metisa plana, meningkat semasa musim panas.
Cuaca panas dan kering serta berangin mempercepatkan pembiakan ulat bungkus serta menyebabkan populasi mereka meningkat dengan ketara.
Larva ulat bungkus berkembang lebih cepat dan dapat memusnahkan lebih banyak daun kelapa sawit, yang mengakibatkan penurunan dalam aktiviti fotosintesis dan hasil sawit.
Inilah punca yang dikenal pasti sebagai salah satu penyebab utama pengurangan pendapatan dalam industri kelapa sawit di Malaysia.
Oleh itu, pemantauan yang lebih kerap dan langkah-langkah kawalan yang berkesan amat penting semasa musim panas dan kemarau untuk mengurangkan kerosakan akibat serangan ulat bungkus.
Strategi pengurusan perosak yang lebih baik, termasuk pemantauan, pengesanan awal dan pelaksanaan teknik pengurusan perosak bersepadu (IPM) mampu untuk mengurangkan kesan serangan ulat bungkus terhadap industri sawit ini.
Berikut merupakan kaedah dan syor dari Ahli Agronomi bagi memastikan serangan ulat bungkus ini dalam kawalan di ladang sawit:
- Pemantauan Berkala:
Melakukan palm census atau pemantauan secara berkala sebanyak 1% daripada setiap dirian pokok (setiap 10 pokok, satu pokok dibanci) di ladang sawit untuk mengesan serangan ulat bungkus pada peringkat awal serangan.

Data ini sangat penting dalam memberi kata putus dan cadangan tarikh yang sesuai untuk melakukan rawatan kerana peringkat yang berkesan untuk melakukan rawatan seperti ‘Trunk injection’ ialah pada peringkat larva ulat bungkus memakan daun sahaja.
Paras kritikal bagi populasi ulat bungkus diladang ialah <5 ekor/ pelepah.
- Rawatan biologi:
Penggunaan Bacillus thuringiensis (Bt) sebagai agen kawalan biologi telah terbukti berkesan dalam mengawal populasi ulat bungkus di ladang kelapa sawit.
Bt adalah bakteria semula jadi yang menghasilkan toksin spesifik yang mempengaruhi sistem pencernaan larva ulat bungkus, menyebabkan mereka berhenti makan dan akhirnya mati.
Kajian oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa aplikasi Bt dapat mengurangkan kebergantungan kepada racun kimia dan membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem ladang.
Kaedah semburan Bacillus thuringiensis (Bt) untuk kawalan ulat bungkus dilakukan dengan memastikan aplikasi pada waktu pagi atau petang bagi mengelakkan degradasi oleh cahaya matahari.
Bagi ladang kecil, penyemburan boleh dilakukan secara manual menggunakan penyembur galas atau bermotor, manakala bagi ladang berskala besar, penggunaan dron atau helikopter lebih efektif untuk memastikan liputan yang lebih luas.
Kaedah ini merupakan sebahagian daripada strategi Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang selamat dan mesra alam.

- Rawatan ‘Trunk injection’ pada batang sawit:
Jika serangan perosak melebihi ambang yang ditetapkan, Ahli agronomi mencadangkan penggunaan racun seperti perawis aktif, Acephate melalui kaedah ‘trunk injection’ untuk kawalan langsung dan cepat.
Rawatan ini merupakan salah satu kaedah kawalan kimia yang berkesan untuk mengawal serangan ulat bungkus dalam ladang kelapa sawit.
Kaedah ini membolehkan racun serangga diserap terus ke dalam sistem vaskular pokok lalu diedarkan ke seluruh bahagian pokok, termasuk daun untuk membunuh ulat bungkus yang menyerang pada peringkat larva yang memakan daun sawit sahaja.
Kawalan kimia ini perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan pokok sawit dan alam sekitar.
- Memberi latihan secara berterusan
Latihan secara berterusan kepada pekerja ladang dan pengurus tanaman adalah penting dalam memastikan kawalan ulat bungkus dilakukan secara efektif dan konsisten.
Program latihan ini perlu merangkumi pemantauan awal, teknik aplikasi kawalan biologi seperti penggunaan Bacillus thuringiensis (Bt), serta kaedah ‘trunk injection’ menggunakan racun kimia seperti Acephate.
Selain itu, pekerja perlu didedahkan kepada konsep Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang menggabungkan pelbagai kaedah kawalan secara sistematik. Latihan juga perlu menekankan kepentingan pemantauan berkala bagi mengenal pasti tahap infestasi serta tindakan pembetulan yang perlu diambil sebelum serangan menjadi serius.

Dengan menyediakan latihan berterusan, pekerja ladang akan lebih berpengetahuan dan cekap dalam menguruskan serangan ulat bungkus, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan kawalan perosak serta mengekalkan hasil sawit pada tahap optimum.
Secara keseluruhan, kaedah pencegahan serangan ulat bungkus dalam tanaman kelapa sawit memerlukan pendekatan bersepadu yang menggabungkan kawalan biologi dan kimia secara sistematik.
Penggunaan Bacillus thuringiensis (Bt) sebagai agen kawalan biologi terbukti berkesan dalam mengurangkan populasi ulat bungkus tanpa menjejaskan ekosistem ladang.
Selain itu, kaedah ‘trunk injection’ menggunakan racun kimia seperti Acephate memberikan perlindungan jangka panjang dengan menghalang perosak daripada merosakkan tanaman.
Pemantauan berkala dan aplikasi berjadual adalah penting bagi memastikan keberkesanan rawatan serta mengelakkan serangan berulang.
Dengan strategi yang sistematik dan pelaksanaan yang berkesan, industri kelapa sawit dapat mengekalkan hasil BTS yang optimum serta meminimumkan kerugian akibat serangan perosak ini. - DagangNews.com








