Pakar ekonomi Juwai IQI: Enam sektor utama dijangka diberi perhatian utama dalam Bajet 2023 | DagangNews Skip to main content

Pakar ekonomi Juwai IQI: Enam sektor utama dijangka diberi perhatian utama dalam Bajet 2023

"Kerajaan dilihat komited sepenuhnya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan meningkatkan kuasa beli rakyat," kata Shan Saeed. - Gambar Dagangnews.com
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 26 Sept – Sektor pelancongan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), E-dagang, hartanah, penerbangan serta makanan halal dijangka menjadi intipati utama dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Okt ini, di samping akan menerima insentif bagi membantu pemulihan industri-industri ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed.

 

"Bagi sektor ICT, kita lihat ia menjurus kepada subsektor cip, selain itu, apa yang boleh diharapkan dalam bajet?

 

"Kita boleh mengharapkan kerajaan untuk cuba memberi tumpuan untuk menjadikan ekonomi negara berdaya tahan supaya ia dapat menahan kejutan dan kelemahan ekonomi global pada tahun-tahun akan datang.

 

"Kerajaan akan mengambil langkah strategik dan telah melihat keadaan ekonomi secara terperinci untuk menyokong industri tempatan dan terus menggunakan dasar monetari dan fiskal untuk memacu trajektori pertumbuhan," beliau memberitahu DagangNews ketika dihubungi hari ini.

Bajet2023

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan akan membentangkan belanjawan yang selaras dengan jangkaan pasaran, dan yang akan diistilahkan sebagai belanjawan berteraskan rakyat dan mesra pelabur.

 

"Bajet akan terus menyokong keyakinan bukan sahaja kepada pelabur tempatan tetapi juga kepada pelabur asing yang memberi petanda baik kepada ekonomi. Kami di Juwai IQI berdiri teguh pada prospek ekonomi untuk 2022.

 

"Kami yakin bahawa perbelanjaan penggunaan, kadar kemasukan pelabur asing dan perdagangan akan mengukuh dan memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Malaysia pada suku tahun akan datang," jelas beliau lagi.

 

Mengulas mengenai ketidaktentuan ekonomi semasa, Shan berkata kestabilan makroekonomi telah menjadi ciri khas bagi Malaysia dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dan keyakinan ekonomi kekal tinggi apabila KDNK pada suku kedua tahun ini mencecah 8.9% dan inflasi kekal rendah pada 4.7% disebabkan dasar monetari yang berkesan.

 

"Bajet 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan tertumpu kepada membina daya tahan ekonomi dan menjaga rakyat ketika ekonomi global mengharungi ekonomi yang tidak stabil," jelas beliau lagi.


 

shan
                                                 SHAN SAEED

 

 

Ditanya mengenai industri kecil dan sederhana (PKS), Shan berkata PKS akan mendapat sokongan untuk memasuki pasaran baharu. dan agensi kerajaan akan terus untuk mengangkat usahawan kecil untuk melangkah ke liga besar dan pasaran antarabangsa,

 

Mengenai peruntukan untuk rakyat, beliau berpendapat bahawa kerajaan sedar situasi melibatkan golongan kurang berkemampuan (B40) dan kerajaan dilihat komited sepenuhnya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan meningkatkan kuasa beli rakyat.

 

"Sebanyakj 40% isi rumah B40 terjejas dengan kelembapan ekonomi semasa wabak COVID-19 dan saya percaya hasrat strategik bajet adalah untuk menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat jelata dan mengekalkan prospek pertumbuhan yang kukuh untuk negara," katanya. – DagangNews.com