Orgabio meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi terbitan IPO | DagangNews Skip to main content

Orgabio meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi terbitan IPO

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Pengeluar minuman pracampur segera Orgabio Holdings Berhad (Orgabio) memeterai Perjanjian Taja Jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd (M&A Securities) bersempena proses tawaran awam permulaan (IPO) di Papan ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Orgabio Dato’ Ean Yong Tin Sin berkata, di bawah perjanjian tersebut, M&A Securities akan menaja jamin sebanyak 18.6 juta saham baharu yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia dan Pengarah serta kakitangan yang layak, selain orang perseorangan yang telah menyumbang kepada kejayaan Orgabio Group.

Katanya, baki 78.1 juta saham baharu akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan pelabur terpilih menerusi kaedah penempatan persendirian.

"Hasil daripada IPO kebanyakannya akan digunakan untuk membiayai dan membayar balik pinjaman bank yang diperoleh bagi pembinaan kilang baharu di Semenyih. 

“Dengan pembinaan kilang baharu, kami akan dapat mengatur sendiri reka bentuk kawasan perkilangan kami, yang mana ia akan mengoptimumkan konfigurasi mesin sedia ada dan mesin yang baharu dibeli untuk meningkatkan aliran kerja dan kecekapan kilang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, IPO Orgabio melibatkan penerbitan 96.7 juta saham baharu Orgabio mewakili 39.0% daripada modal saham diperbesarkan.

"IPO ini telah menarik minat dan memperoleh kumpulan syarikat penjagaan kesihatan tradisional yang disenarai di Papan Utama, Hai-O Enterprise Berhad sebagai pelabur penyokong atau `cornerstone investor’.

"Kami melihat Hai-O Enterprise sebagai rakan kongsi jangka panjang yang sejajar dengan pendekatan berprinsip dan beretika kami dalam melaksanakan perniagaan," ujarnya.

Orgabio dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Market Bursa Securities menjelang Disember 2021.-DagangNews.com