KUALA LUMPUR 22 Jun - Orang ramai dijangka berpusu-pusu membuat tempahan sebelum berakhirnya pengecualian cukai jualan kenderaan menjelang 30 Jun 2022, seperti diumumkan kerajaan awal minggu ini.
Semakan yang dijalankan RHB Research hari ini mendapati tempahan kenderaan semakin meningkat dengan pantas, sekali gus akan menyaksikan jualan kenderaan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2022.
Penganalisisnya, Jim Lim Khai Xhiang berkata, walaupun saat-saat akhir pengecualian cukai akan meningkatkan hasil dalam tempoh terdekat, namun, masih terdapat kebimbangan tempahan yang lebih perlahan pada separuh kedua ini, serta jualan pada akhir 2022 dan suku pertama 2023.
"Selain itu, kami juga bimbang terhadap tekanan inflasi yang dijangka berterusan tinggi. Ini kemungkinan boleh melemahkan sentimen pengguna pada 2023, justeru, memberi risiko kepada permintaan.
"Malah, inflasi boleh mengakibatkan risiko pemampatan margin kepada pemain industri," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Isnin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.
Sementara itu, data yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan jualan kenderaan merosot kepada 49,603 unit pada Mei, berbanding 56,213 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Kemerosotan jualan sekitar 12% pada bulan dikaji disebabkan tempoh hari bekerja yang singkat ekoran cuti Hari Raya Aidilfitri.
Kekurangan cip komputer dan komponen serta gangguan dalam penghantaran logistik yang berterusan memberi kesan kepada jualan beberapa pengeluar pada Mei.
Khai Xhiang bagaimanapun mengekalkan unjuran jumlah keselurunan industri (TIV) bagi tahun ini sebanyak 615,000 unit berbanding 600,000 unit yang diunjurkan MAA.
"Namun, masih terdapat risiko negatif yang boleh menjejaskan pemulihan sektor ini termasuklah kekurangan komponen utama dan kelewatan beberapa pelancaran model baharu.
"Pada masa sama, kelulusan permohonan pembiayaan kenderaan yang masih ketat dan kelemahan nilai ringgit juga masih mempengaruhi prospek sektor ini," tambahnya.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan saham pilihan utamanya ialah Sime Darby Group dan Bermaz Auto Bhd. - DagangNews.com








