Optimis dengan prospek Kelington, Kenanga Research ulangi pandangan 'outperform' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Optimis dengan prospek Kelington, Kenanga Research ulangi pandangan 'outperform'

Kelington mempunyai kedudukan yang unik dalam ruang semikonduktor utama. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Kelington Group Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.90 selepas kumpulan meraih kontrak bernilai RM117 juta di Singapura. 

 

Kontrak itu membabitkan kerja-kerja pengagihan sistem gas pukal dan khusus untuk peneraju dunia dalam kemudahan fabrikasi penyelesaian memori yang inovatif di Singapura.

 

Menurut firma itu, perolehan kontrak terbaharu itu secara tidak langsung menunjukkan Kelington telah menidakkan kelembapan dalam pengembangan sektor semikonduktor yang memerlukan penyediaan sistem pengedaran gas pukal dan khusus kepada pelanggan semikonduktor tersenarai AS yang terkenal.

 

"Kami positif dengan perolehan ini, yang menjadikan nilai kontraknya setakat ini kira-kira RM950 juta, memenuhi anggaran kami bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

"Ini juga menjadikan nilai kontrak semasanya meningkat kepada RM1.85 bilion, menandakan perjalanan yang lancar untuk mencipta satu lagi rekod tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kerja-kerja bagi projek tersebut dijangka bermula pada Ogos 2022, dan dijangka siap menjelang Jun 2024.

 

Baca : Kelington raih kontrak di Singapura bernilai RM117 juta

 

Susulan itu, firma itu mengekalkan unjuran hasil bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak RM44.2 juta dan RM44.9 juta.

 

Di sebalik kebimbangan pasar mengenai lebihan bekalan cip, Kenanga Research mendapati pengembangan fabrikasi masih diteruskan.

 

"Ini juga dibangkitkan oleh kumpulan yang menunjukkan bahawa kekurangan cip semikonduktor yang kritikal masih sangat nyata dan fabrikasi wafer masih melihat keperluan untuk melaksanakan rancangan pengembangan mereka, yang seterusnya akan memberikan lebih banyak peluang kepada Kelington," jelasnya.

 

Ia menyukai saham syarikat ini berdasarkan kepada kedudukannya yang unik dalam ruang semikonduktor utama dan rekod prestasinya yang mantap terus menjadi tarikan kepada syarikat multinasional.

 

"Selain itu, penyertaannya dalam segmen gas yang sukar, mampu memberi hasil yang menarik kepada margin," katanya.

 

Setakat 12.21 tengah hari, harga saham Kelington susut 1 sen atau 0.78% kepada RM1.28 dengan 1.31 juta saham diniagakan. - DagangNews.com