Operasi Lexus dipindah kepada pengedar | DagangNews Skip to main content

Operasi Lexus dipindah kepada pengedar

 

SHAH ALAM 2 Ogos - UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan cawangan jenama mewah syarikat itu, Lexus Mutiara Damansara telah dipindahkan kepada pengedarnya bagi tujuan mempertingkatkan lagi kecekapan operasi, bermula semalam.

Ini susulan kepada pengumuman syarikat pada awal Oktober 2017, yang menyatakan semua operasi cawangannya akan dipindahkan kepada pengedar dan pihak lain.

Pengedar dari Hiewa Auto Gallery (Lexus) Sdn. Bhd. akan mengambil alih cawangan Lexus Mutiara Damansara, sekali gus memberi ruang kepada UMWT untuk menumpukan perhatian dan usaha penuh terhadap aktiviti-aktiviti utama yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar.

Sementara itu, pengedar pula akan memberi perhatian khusus kepada usaha untuk memenuhi kepuasan dan jangkaan pengguna ke tahap yang lebih baik.

"Adalah penting untuk Lexus Malaysia terus mencapai standard kepuasan pelanggan yang tinggi," ujar Presiden syarikat, Ravindran K dalam kenyataan di sini.
 

toyota1
Ravindran K


"Saya sangat teruja untuk bekerja dengan lebih rapat bersama pengedar-pengedar dalam mencapai matlamat bersama untuk Lexus Malaysia, iaitu membangunkan konsep Best In Town yang memberi fokus kepada layanan khusus secara peribadi kepada pelanggan.

"Walaupun langkah ini menjadi perubahan penting bagi kami, pelanggan tidak perlu risau kerana kualiti servis tidak akan dikompromi, sebaliknya akan menjadi lebih baik di masa hadapan," tambah beliau.

Pengumuman ini menjanjikan fasa penting dan menarik terhadap sokongan kepada pelanggan oleh Lexus Malaysia. Ia juga membolehkan pertumbuhan semangat keusahawanan yang baik dengan membuka lebih banyak peluang untuk manfaat ekonomi setempat.

Pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan rangkaian jualan dan servis jenama Lexus di Malaysia boleh layari laman web lexus.com.my atau hubungi talian bebas tol Lexus di 1800-22-53987 atau +603-20535730. - DagangNews.com