KUALA LUMPUR 14 Nov - Northport (Malaysia) Bhd (Northport) memenangi tiga Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2020/2021 termasuk anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO of the Year) untuk sektor swasta semasa majlis penyampaian anugerah yang telah diadakan di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA pada 11 November 2022.
Kategori-kategori lain yang telah dimenangi oleh Northport adalah anugerah Perkhidmatan Perniagaan dan Mentor-Mentee (Mentor).
Dianjurkan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH), anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Mohd Anuar Embi dan Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof hadir untuk menerima anugerah-anugerah tersebut.
Untuk rekod, Northport adalah penyandang bagi kategori Perkhidmatan Perniagaan selepas memenangi anugerah tersebut di Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2019 pada Februari 2020.
Azman berkata, selama beberapa tahun kebelakangan ini, mereka telah melakukan penambahbaikan berterusan terhadap langkah-langkah HSE (kesihatan, keselamatan dan persekitaran) demi melindungi kakitangan dan pengguna pelabuhan daripada ancaman keselamatan dan kesihatan.
"Kami telah memperkukuhkan lagi usaha kami, khususnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, dalam usaha memerangi wabak COVID-19. Anugerah ini adalah bukti komitmen teguh kami dalam mempromosikan HSE sebagai bahagian penting dalam operasi perniagaan kami.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kerja TeamNorthport di atas ketabahan, dedikasi dan komitmen mereka di dalam mengharungi perjalanan Northport ke arah kecemerlangan HSE.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan niaga kami, agensi kerajaan, pembekal, kontraktor dan pemegang taruh di atas sokongan berterusan yang membantu kami untuk sampai sehingga ke tahap ini.
"Kami akan meneruskan perjalanan ini bersama-sama dalam usaha kami untuk menjadi pelabuhan yang lebih Selamat, lebih Hijau, lebih Pintar dan lebih Baik," katanya dalam satu kenyataan.
Northport telah diiktiraf dengan beberapa anugerah dan pengiktirafan di atas komitmen cemerlangnya dalam menjalankan operasi perniagaan pada tahap tertinggi HSE.
Pada Mei tahun ini, Northport telah memenangi anugerah IAPH 2022 Sustainability Award di bawah kategori Keselamatan, Kesihatan dan Sekuriti semasa Persidangan Pelabuhan Dunia IAPH 2022 yang telah diadakan di Vancouver, Kanada.
Dengan projek bertajuk "Perjalanan Ke Arah Kecemerlangan HSE", Northport telah menewaskan dua finalis lain, iaitu Pelabuhan Montreal dan Pelabuhan Amsterdam, dalam kategori ini. Northport merupakan pelabuhan Malaysia pertama yang menerima anugerah berprestij antarabangsa ini. - DagangNews.com








