KUALA LUMPUR 21 Dis - Keputusan mengenai pelaksanaan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) hanya akan diketahui dalam Bajet 2023, yang akan dibentangkan semula pada Februari depan, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan yang baru dilantik, Anthony Loke berkata, projek mega yang sedang berjalan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT3 dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) akan diteruskan.
Namun, penganalisis HLIB, Edwin Woo berkata, projek MRT3 yang akan menjadi pemangkin sektor pembinaan dalam jangka masa terdekat belum lagi menerima 'lampu hijau' secara khusus daripada kerajaan.
Beliau menjangkakan projek mega di bawah perolehan yang melibatkan anggaran harga RM50.2 bilion, mungkin akan disemak semula oleh kerajaan baharu.
Ini memandangkan projek Digital Nasional Bhd. (DNB) bernilai RM11 bilion yang jauh lebih kecil dan bajet tebatan banjir RM15 bilion juga sedang menjalani proses semakan masing-masing.
"Kami menjangkakan semakan semula ini akan mengambil masa selama 3 hingga 6 bulan sebelum projek dianugerahkan pada pertengahan 2023 dan seterusnya.
"Asas kami terhadap keputusan tidak menutup projek juga berdasarkan kepada laluan akhir bagi projek Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik di Lembah Kelang Fasa 2 (KVDT2) dan ketidaktentuan luaran boleh menyuntik dan stimulasikan ekonomi domestik.
"Projek pemangkin jangka panjang seperti Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kemungkinan tidak akan diluluskan di bawah pemerintahan kerajaan baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan memandangkan terdapat ketidakpastian mengenai garis masa penilaian semula projek mega selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Dalam tempoh 11 bulan, pemberian kontrak di peringkat domestik kekal mendatar -1.9% kepada RM15.9 bilion (berbanding tempoh sama 2021).
Bagaimanapun, Woo menjangkakan jurang negatif akan melebar untuk asas perbandingan setahun penuh disebabkan gangguan daripada PRU15.
Katanya, kontrak bagi sektor awam terjejas apabila Parlimen dibubarkan manakala anugerah projek sektor swasta masih tertangguh sehingga ketidaktentuan pilihan raya berlalu.
"Melihat tahun ini secara keseluruhan, kami menganggap persekitaran kos yang tidak menentu dan inflasi yang ketara menyebabkan tender lebih rumit kerana kebanyakan kontrak biasanya dilaksanakan pada asas harga tetap.
"Walaupun trend kos bahan mentah telah stabil sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi bahan binaan seperti simen menyaksikan kenaikan harga yang besar pada Oktober (didorong kos) dan ini cenderung untuk melambatkan lagi pelancaran projek," jelasnya.
Pada masa sama, beliau juga menjangkakan perbelanjaan pembangunan akan dikurangkan kepada RM85 bilion dalam pembentangan semula Bajet 2023 berbanding RM95 bilion (dalam bajet yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu).
"Kami melihat sebahagian besar daripada peruntukan ini akan memberi fokus kepada projek tebatan banjir, hospital, air dan pelbagai projek infrastruktur di Sabah dan Sarawak.
"Malah, kami tidak menjangkakan gangguan besar kepada projek yang sedang berjalan/baru seperti Pan Borneo, PBH, kemudahan Transit Aliran Automatik (ART) Kuching, Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), jalan utama dan pengembangan pelabuhan," katanya. -DagangNews.com








