KUALA LUMPUR 18 Feb - Kumpulan Syarikat NanoMalaysia Berhad (NMB) hari ini melancarkan buku panduan Rancangan Anti Rasuah dalam Organisasi (OACP) 2021-2025 dalam usaha syarikat mencegah sebarang bentuk rasuah daripada berlaku dalam perkhidmatan pentadbiran NMB.
OACP merupakan inisiatif yang diwajibkan di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional di mana kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan dikehendaki mengenal pasti isu-isu rasuah, tadbir urus dan integriti.
Pengerusi Kumpulan NMB, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohamad Zawawi Ismail berkata, rasuah dan nilai-nilai negara tercabar apabila penerima rasuah tidak dapat membezakan antara dosa, pahala serta tidak mengendahkan amanah dan tanggungjawab yang dipikul mereka.
“Rasuah boleh menyebabkan kehilangan peluang perniagaan selain menjejaskan reputasi syarikat. Secara jangka panjang, amalan rasuah memberi kesan kepada kemajuan dan pembangunan negara.
"Ini adalah bertentangan dengan nilai teras dan misi NMB untuk memajukan landskap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dr Rezal Khairi Ahmad pula berkata, buku panduan itu akan menjadi sumber berguna bagi semua warga NMB dalam mengiktiraf keperluan membangunkan dan melaksanakan program etika serta pematuhan anti rasuah yang kukuh.
“Saya akan memastikan buku ini dapat memberi panduan kepada kita dalam melaksanakan tanggungjawab harian dengan penuh integriti, telus dan bertanggungjawab. Sikap ini perlu menjadi pegangan setiap orang terutamanya pada peringkat pelaksanaan dan penutup projek serta dalam perjanjian komersial dengan pihak-pihak luar," katanya.

Menurut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-62 daripada 180 buah negara berhubung dengan rasuah di sektor awam.
Buku panduan ini dihasilkan bersama dengan Institut Integriti Malaysia dan menyediakan garis panduan kepada pihak pengurusan dan warga kerja dalam memastikan sistem pentadbiran yang cekap, telus, bersih dan berintegriti.

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), NMB bertindak sebagai sebuah entiti perniagaan yang diamanahkan dengan aktiviti pengkomersialan dan perindustrian nanoteknologi menerusi model pembangun usaha sama.
Buat masa ini terdapat 50 salinan buku panduan yang dicetak untuk agihan dalaman dan e-buku panduan boleh dimuat turun melalui laman web NMB (www.nanomalaysia.com.my). - DagangNews.com








