MYStartup buka tirai NXT tahun 2024 di Johor, singkap peluang di Wilayah Selatan | DagangNews Skip to main content

MYStartup buka tirai NXT tahun 2024 di Johor, singkap peluang di Wilayah Selatan

Norman Matthieu Vanhaecke; Datuk Mohammad Yusof Apdal; Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; serta Presiden dan Datuk Idzham Mohd Hashim, melawat gerai-gerai yang menyertai MYStartup NXT Johor.
Oleh Mohamad Iman

ISKANDAR PUTERI 1 Mac – MYStartup NXT, siri persidangan mikro oleh  MYStartup, membuka tirai tahun 2024 di lokasi baharu, Iskandar Puteri, Johor. 

 

Persidangan ini merangkumi sesi perkongsian mengenai strategi perniagaan termasuk  perancangan serta peningkatan hasil, dan kisah inspirasi daripada usahawan  tempatan, agensi kerajaan, pakar industri dan lain-lain.  

 

Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), sebuah agensi focal point bagi startup Malaysia di  bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah memainkan peranan  penting dalam memacu MYStartup NXT, iaitu sebuah inisiatif sejajar dengan matlamat  negara untuk membina sebuah ekosistem global, berkualiti tinggi, inklusif dan mampan. 

 

Pada tahun 2023, MYStartup NXT telah berjaya dilaksanakan di empat buah lokasi,  bermula dengan Cyberjaya diikuti dengan Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah. Program  ini juga telah berjaya menarik lebih daripada 1,000 peserta secara keseluruhan.

 

Tahun  ini, Johor telah dipilih sebagai lokasi pertama MYStartup NXT untuk terus  merealisasikan matlamat negara iaitu mewujudkan lebih daripada 5,000 startup yang  berkualiti menjelang 2025, dan menyediakan sokongan komprehensif yang diperlukan  untuk mereka terus berkembang maju. 

 

Ekosistem startup Johor kini berkembang pesat dan mengalami pertumbuhan yang  ketara. Hal ini didorong oleh kedudukan geografi yang strategik, inisiatif kerajaan yang  proaktif dan kumpulan bakat yang semakin berkembang.

 

Tambahan pula, lokasi Johor  yang berdekatan dengan Singapura menjadikan negeri ini pintu gerbang yang strategik  bagi startup untuk melebarkan dan mengukuhkan jaringan mereka, menjalin kolaborasi  serta meningkatkan akses kepada bakat baharu. 

 

 

mystartup
Pertukaran MoU antara Cradle dan Iskandar Investment, diwakili Norman Matthieu Vanhaecke, dan Datuk Idzham Mohd Hashim. Majlis itu disaksikan oleh Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

 

 

Berdasarkan Global Startup Ecosystem Index Report, sebuah laporan tentang  ekosistem global daripada StartupBlink, kedudukan Johor Bahru melonjak 404 anak  tangga, sekali gus meraih tempat dalam kalangan 600 bandar terbaik di seluruh dunia  pada tahun 2023 dan mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan 1,000 bandar terbaik dunia.

 

Kedudukan Johor Bahru juga melompat sembilan anak tangga di Asia  Tenggara, di mana ia menduduki tempat ke-13 dan mengekalkan kedudukannya  sebagai ekosistem ke-3 aktif di Malaysia. 

 

Dengan kerjasama Iskandar Investment Bhd (IIB), persidangan mikro ini akan menjadi  sebuah platform menarik yang menawarkan peluang kepada bakal usahawan dan  usahawan sedia ada untuk belajar, menjalin rangkaian dan mendedahkan diri mereka  kepada dunia korporat, syarikat gergasi teknologi, pelabur serta pihak berkepentingan  yang berkaitan untuk memulakan dan meningkatkan perniagaan mereka.  

 

“Dalam memenuhi mandat yang diberikan, MYStartup kekal komited untuk  memperkasakan startup di negara ini, dan komitmen kami tidak mengenal sempadan.  Kami akan terus menangani cabaran-cabaran di dalam ekosistem startup negara yang  merangkumi kekangan modal, bakat dan pemangkin utama. 

 

“Kami akan terus berdedikasi dalam merealisasikan potensi Malaysia sebagai sebuah  negara hab teknologi dan inovasi, sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI, serta  matlamat negara dalam menjadi antara 20 ekosistem startup global terbaik menjelang  2030.

 

"Di MOSTI, kami berpegang teguh kepada prinsip PRECISE, yang merangkumi  intipati ekosistem berpaksikan rakyat, penyelidikan dan pembangunan, pembudayaan,  pembinaan kapasiti, pelaburan dan ekosistem startup,” kata Timbalan Menteri Sains,  Teknologi dan Inovasi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal.  

 

 

Dato’ Mohammad Yusof Apdal
                               Dato’ Mohammad Yusof Apdal

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu  Vanhaecke, berkata sebagai agensi focal point startup negara, perkembangan  ekosistem startup negara yang kita dapat lihat sehingga kini merupakan sesuatu yang  membanggakan. 

 

“Kami tekad dalam memupuk inovasi melalui MYStartup NXT, yang mana menekankan  peranan penting usaha erat dalam memupuk landskap keusahawanan yang mampan. 

 

"Di Cradle, kami akan terus memperjuangkan ekosistem startup yang inklusif dan  berimpak tinggi di seluruh negara melalui tiga tonggak utama – pengasas, pelabur dan  pemaju teknologi.

 

"Sehingga kini, lebih daripada 100 startup yang berpangkalan di Johor  telah disenaraikan dalam Portal MYStartup. Antaranya ialah DF Automation & Robotics  (robotik), Materials in Works (climate tech), Sayur Kita Asia (agritech) dan Imagine AI  (kecerdasan buatan).

 

"Bersama-samalah kita membina masa depan di mana startup Malaysia dapat berkembang, meningkatkan inovasi dan menyumbang kepada  kemakmuran ekonomi negara kita,” tambah Norman. 

 

“Iskandar Investment Berhad (IIB) berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi MYStartup  di selatan. Sebagai pemaju induk Medini, IIB mengiktiraf peranan penting yang  dimainkan oleh startup dalam memacu pembangunan ekonomi.

 

Pengiktirafan Medini  sebagai hab digital Johor, lokasi yang strategik dan infrastruktur yang lestari  mengukuhkan lagi potensi bandar ini sebagai hab startup dan perusahaan dipacu  teknologi. 

 

“Bersama-sama dengan MOSTI melalui Cradle, kami komited untuk memanfaatkan  potensi startup Malaysia. Kerjasama dengan Cradle membolehkan kami memupuk  sebuah ekosistem yang dinamik di mana startup boleh berkembang maju, bekerjasama  dan menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi rantau ini,” kata Presiden dan  Ketua Pegawai Eksekutif IIB Dato’ Idzham Mohd Hashim.  

 

NXT Johor dimulakan dengan sesi panel yang bertajuk "Elevating Innovation: Igniting  Diversity in Johor’s Startup Culture”, yang menampilkan wakil daripada Cradle, serta  startup seperti Holistics Lab dan Start iiX. Terdapat juga sesi perkongsian daripada  startup tempatan seperti Kestrl, Sayur Kita Asia dan Materials in Works.  

 

Selain itu, sesi spotlight bertajuk “Tackling the Talent Challenge: From Skill Set to  Mindset” yang mengetengahkan topik mengenai permintaan tenaga kerja pada masa  depan serta kemahiran yang diperlukan untuk memupuk mentaliti dan cara kerja yang  kondusif dan berinovasi, diikuti dengan dengan sesi fireside yang bertajuk “Ecosystem  Resilience: Revolutionizing Johor through Collaborative Initiatives”.  

 

Sila kunjungi laman web www.mystartup.gov.my untuk maklumat lanjut berkenaan MYStartup. - DagangNews.com