KUALA LUMPUR 18 April - Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) menyasarkan edaran sebanyak 200,000 pek juadah berbuka puasa di seluruh dunia pada tahun 2022.
Edaran tersebut, termasuk cawangan-cawangan MyFundAction di Mesir, New Zealand, Jepun, Korea, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika.
MyFundAction amat mengalu-alukan sokongan dan kesudian syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu perseorangan yang ingin berkolaborasi dan bekerjasama bagi membantu lebih ramai masyarakat kurang bernasib baik pada masa akan datang, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Terdahulu, MyFundAction bersama rakan kolaborasi, Bursa Malaysia menganjurkan Program Rewang Ramadan dan mengedarkan 600 pek bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai di Masjid Jamek Kuala Lumpur menerusi projek Special Iftar for Ummah pimpinan sektor makanan di bawah modul Sustainability Development Goals (SDG), baru-baru ini.
Program yang dianjurkan buat julung kalinya bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan menerusi perkongsian juadah berbuka puasa sambil merapatkan lagi ukhuwah sesama peserta program dan masyarakat sekitar.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift; Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq Mohmad Nazari dan Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Shahid.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata, Bursa Malaysia melalui Yayasan Bursa Malaysia amat berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan MyFundAction, kali ini dalam penganjuran Program Rewang Ramadan.
Beliau berkata, kerjasama pertama dengan MyFundAction pada awal tahun ini melalui dana Bantuan Banjir Kecemasan MyFundAction.
"Program seumpama ini bukan sahaja membolehkan Kelab Sukarelawan Kakitangan Bursa Malaysia - Bursa VIBE mendekati dan berkongsi rezeki dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik di sekitar bandar raya, malah ia merupakan sebuah platform berkesan untuk Bursa Malaysia memperkenalkan pelbagai lagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami demi manfaat komuniti setempat," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Projek Special Iftar for Ummah, Siti Najeeha Zaini menzahirkan rasa syukur atas kejayaan mengedarkan 600 pek bubur lambuk serta menyantuni penduduk sekitar Kuala Lumpur sempena bulan Ramadan ini.
"Inisiatif murni ini juga turut melibatkan Pertubuhan Pemimpin Sukarelawan Malaysia (YOSH) serta Sukarelawan Bursa VIB," katanya.
Mereka yang ingin menyumbang boleh berhubung dengan Encik Alief Hakimie di talian +6011-51645580 atau e-mel di [email protected]. - DagangNews.com








