KUALA LUMPUR 11 April - MYAirline komited untuk mengembangkan rangkaian laluan domestik dan memulakan penerbangan antarabangsanya di rantau ini dengan menyasarkan sebanyak 20 pesawat menjelang akhir 2023.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo berkata, ia akan menjadi masa yang menarik kerana pihaknya merancang untuk melancarkan lebih banyak pesawat bergerak ke hadapan.
"Kami tidak sabar-sabar untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dengan komitmen kami untuk pengembangan di rantau ini.
"Faktor ini membolehkan kita memanfaatkan sebahagian daripada permintaan yang semakin meningkat pengembaraan selepas COVID-19 dan mengembangkan pangkalan pelanggan kami di ASEAN," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rayner, sebagai syarikat penerbangan yang baru berusia empat bulan, MYAirline berazam untuk mencapai kejayaan dalam industri.
"Kami tetap bertekad dalam komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan terbaik untuk penumpang yang kami hargai.
"Pelan strategik kami, bersama dengan dedikasi untuk penambahbaikan berterusan, menggariskan usaha untuk mencapai kecemerlangan," katanya.

Terdahulu, MYAirline menerima pesawat keenamnya, menandakan satu lagi kejayaan bagi syarikat penerbangan tersebut.
Tambah Rayner, dasar mereka memiliki pesawat gantian adalah bukti untuk mencapai objektif ini, terutamanya dalam memastikan prestasi tepat masa (OTP) yang tinggi.
Katanya, faktor ini juga membolehkan syarikat penerbangan itu untuk 'terbang' lebih tinggi dalam mengurangkan masa pemulihan dan meningkatkan produktiviti keseluruhan.
"Menambah pesawat adalah keputusan strategik yang penting untuk MYAirline, ia memerlukan perancangan dan pertimbangan yang teliti daripada pelbagai faktor seperti permintaan pasaran, daya maju kewangan, dan kecekapan operasi.
"Induksi pesawat baharu memerlukan perancangan dan penyelarasan untuk memastikan pesawat memenuhi semua keselamatan dan keperluan prestasi. Paling penting, ia perlu disepadukan dengan operasi lancar sedia ada," katanya. - DagangNews.com








