Muhibbah dijangka laksana banyak pengambilalihan, MIDF Research naikkan saranan kepada 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muhibbah dijangka laksana banyak pengambilalihan, MIDF Research naikkan saranan kepada 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Mac - MIDF Research menyemak naik penarafan saham Muhibbah Engineering Bhd. kepada 'beli' berbanding 'neutral' sebelum ini berikutan prospek kumpulan yang kekal kukuh. 

 

Firma itu menjangkakan Muhibbah akan terus mempamerkan peningkatan dalam hasil dan perolehannya bagi tahun ini terutama menerusi segmen pembinaan dan kren sejajar dengan pembukaan semula ekonomi yang membenarkan operasi dengan kapasiti penuh.

 

"Selepas menyertai taklimat keputusan kewangan Muhibbah baru-baru ini, kami beroleh sedikit keyakinan, terutamanya mengenai prospek jangka sederhana hingga panjangnya, walaupun ini tidak meredakan kebimbangan kami terhadap ketidaktentuan jangka pendek, yang mana pemulihan masih bergantung kepada situasi pandemik COVID-19.

 

"Tetapi, kami menyukai perancangan masa depan kumpulan untuk memperluaskan asas pendapatan dan usahanya untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi anak syarikat milik penuhnya, CiTech," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Untuk memperluaskan asas pendapatan, kumpulan merancang terbitan hak dengan asasnya 1 saham hak bagi setiap 2 saham Muhibbah untuk mengumpul sehingga RM128.5 juta berdasarkan harga terbitan indikatif pada 50 sen. 

 

Dalam taklimat dengan pengurusan baru-baru ini, ia menjelaskan bahawa langkah itu adalah penting untuk menambah dana bagi meningkatkan potensi penggabungan dan peluang pengambilalihan untuk meluaskan asas pendapatan kumpulan.

 

Meskipun terdapat persoalan mengenai keputusan Muhibbah untuk menjalankan terbitan hak pada masa harga sahamnya rendah, tetapi pengurusan menjelaskan sentimen pasaran semasa memberikan peluang yang baik untuk membeli sasaran yang baik pada penilaian rendah.

 

MIDF Research berkata, kumpulan juga telah menyenarai pendek beberapa sasaran pengambilalihan tetapi ia masih di dalam proses usaha wajar dan peringkat rundingan.

 

Katanya, Muhibbah berharap dapat memuktamadkan cadangan pengambilalihan ini pada tahun kewangan 2022 (FY22).

 

"Tanpa mendedahkan butiran terperinci, pihak pengurusan memberi panduan bahawa kriteria pemilihan termasuk mereka dalam perniagaan pembuatan, mempunyai rekod prestasi mantap, latar belakang perniagaan yang berulang, keupayaan untuk menghasilkan aliran tunai yang positif dan mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi.

 

"Sehingga terdapat keperluan untuk memuktamadkan pembayaran bagi pengambialihan yang dijangkakan, kumpulan itu akan menggunakan hasil untuk membayar balik pinjaman bank," jelasnya. 

 

Mesyuarat agung luar biasa akan diadakan berhubung cadangan terbitan hak ini secara maya pada Isnin depan. Difahamkan bahawa 33% daripada pemegang sahamnya telah menyerahkan borang proksi, mengundi menyokong terbitan hak tersebut.

 

Dalam pada itu, menurut MIDF Research, kumpulan juga berharap dapat menyertai projek Safina Petronas yang akan menggantikan kapal lama Petronas, dengan rancangan untuk membina kira-kira 100 kapal oleh limbungan tempatan sahaja.

 

Nilai projek kumpulan ketika ini berjumlah RM826 juta, dengan RM302 juta daripadanya adalah menerusi segmen pembinaan infrastruktur manakala RM524 juta bagi segmen kren dan automasi.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), Muhibbah masih merekodkan kerugian dengan rugi teras bersih sebanyak 8.88 juta walaupun meningkat 94% tahun ke tahun.

 

Setakat 9.37 pagi ini, harga saham Muhibbah kekal tidak berubah pada 65 sen dengan 30,000 saham diniagakan. - DagangNews.com