MPOB berjaya bangunkan 712 teknologi semua sektor dalam industri sawit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPOB berjaya bangunkan 712 teknologi semua sektor dalam industri sawit

Datuk Seri Fadillah Yusof (dua, kanan) dan Datuk Siti Aminah Aching memotong kek berasaskan minyak sawit merah sempena lawatan di ibu pejabat MPOB pada 22 Disember 2022. Turut kelihatan, Datuk Zurinah Pawanteh (kiri) dan Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Dis - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya membangunkan 712 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk inovasi dalam pengeluaran makanan dan bukan makanan untuk diterima pakai dan dikomersialkan.

 

MPOB dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 32.7% daripada teknologi ini telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh industri tempatan dan usahawan.

 

Menurutnya baru-baru ini, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) di bawah MPOB telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir 2022, anugerah Malaysia bertaraf global. 

 

Katanya, ABBC memenangi Anugerah dalam kategori Sumber Asli Tropika sebagai pengiktirafan terhadap program penyelidikan berpandangan jauh dalam menggunakan germplasma sawit yang menjadi sumber penting dalam memacu nilai sosioekonomi industri sawit di peringkat nasional dan global.

 

"ABBC kini merupakan pusat koleksi germplasma sawit terbesar di dunia bagi pemuliharaan dan penyelidikan berasaskan biakbaka dan bioteknologi sawit. 

 

"Ia merupakan penerima ketiga dari Malaysia bagi Anugerah Sains Mahathir dalam sejarah 17 tahunnya," katanya.

 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof diberi taklimat mengenai industri sawit negara ketika beliau mengadakan lawatan di ibu pejabat MPOB, semalam.

 

Taklimat itu turut disertai oleh  Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching; Ketua Setuausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

 

Fadillah turut dibawa melawat Galeri Sawit yang mana Ahmad Parveez dan para penyelidik MPOB memberi penerangan kepada beliau mengenai peranan MPOB dalam menerajui industri sawit, dan teknologi-teknologi inovasi berasaskan sawit yang dihasilkan MPOB. 

 

Beliau turut dihidangkan dengan makanan yang menggunakan bahan sawit seperti kek berasaskan minyak sawit merah, minuman berasaskan minyak sawit merah, sos coklat, roti Perancis dan roti kupas tangan. - DagangNews.com