MIDF Research turunkan harga sasaran Sunway REIT kepada RM1.68 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research turunkan harga sasaran Sunway REIT kepada RM1.68 sesaham

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Julai - MIDF Research optimis dengan prospek Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 terutamanya dipacu segmen peruncitan. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Jessica Low Jze Tieng berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa juga dijangka menyokong pemulihan hasil kumpulan menerusi segmen perhotelan. 

 

Ini membolehkannya mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway REIT berikutan prospeknya semakin bertambah baik dan hasil pengagihan yang menarik sebanyak 5.3%.

 

"Kami menjangkakan hasil daripada segmen peruncitan akan meningkat dengan ketara pada FY22 dan FY23 disebabkan rebat sewa yang minimum dan pengembalian sewa yang positif.

 

"Malah, pengurusan turut menjangkakan momentum pemulihan hasil yang lebih kukuh menerusi segmen perhotelan pada FY23 dengan ketibaan pelancong yang lebih tinggi," katanya.

 

Ketika Malaysia memasuki peralihan kepada fasa endemik, bahagian runcit Sunway REIT mencatatkan lonjakan pendapatan yang kukuh berikutan pemulihan dalam bilangan pengunjung dan jualan penyewa.

 

Firma itu mendapati bahawa penurunan pengunjung dan jualan penyewa pulih ke tahap sebelum COVID-19 disebabkan perbelanjaan yang terpendam dan musim perayaan. Ini menyaksikan pengurangan rebat sewa dengan ketara pada separuh pertama 2022.

 

Segmen perhotelan pula melaporkan pendapatan bersih hartanah yang lebih tinggi meningkat 36% tahun ke tahun pada suku pertama terutamanya disebabkan peningkatan percutian domestik dan perjalanan perniagaan. 

 

Sementara itu, segmen pejabat Sunway REIT juga kekal stabil dengan kadar penghunian melebihi 80% bagi kebanyakan bangunan pejabatnya.

 

Mengenai impak kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), Jze Tieng berkata, kenaikan 25 mata asas baru-baru ini akan meningkatkan kos pinjaman Sunway REIT kerana 68% daripada hutangnya adalah pinjaman kadar terapung. 

 

"Kami menjangkakan impak kenaikan OPR ini adalah sederhana terhadap Sunway REIT. Ini kerana setiap kenaikan 25 mata asas dijangka meningkatkan kos pinjamannya kira-kira RM8 juta iaitu sekitar 2% daripada unjuran pendapatan kami bagi FY22 dan FY23. 

 

"Mengambil kira kesan ini, kami menyemak semula unjuran hasil bagi FY22/FY23 sebanyak -2.3% selepas mengambil kira kos pinjaman yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Sejajar dengan semakan itu, harga sasaran Sunway REIT juga dikurangkan kepada RM1.68 daripada RM1.70 sesaham. 

 

Setakat 9.10 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.45 dengan 30,300 saham diniagakan. - DagangNews.com