KUALA LUMPUR 22 Dis - MIDF Research menaikkan penarafan Aeon Credit Service Bhd. kepada 'beli' daripada 'trading buy' sebelum itu dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada RM15 sesaham.
Firma itu optimis dengan prestasi kumpulan setelah ia merekodkan keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan yang memenuhi jangkaannya.
Menurutnya, walaupun keuntungan suku ketiga berakhir 30 November 2022 susut 19.2% tahun ke tahun tetapi ia adalah lebih baik pada asas suku tahunan meningkat 10.5% suku ke suku.
"Kami percaya Aeon Credit mampu mengekalkan kenaikan trajektori hasil memandangkan ekonomi pada tahun hadapan akan disokong permintaan domestik yang kukuh.
"Dengan kelemahan harga saham baru-baru ini, kami percaya bahawa terdapat peluang dagangan untuk Aeon Credit, justeru, kami menaikkan penarafannya kepada 'beli'," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Aeon Credit meraih keuntungan bersih lebih rendah kepada RM83.62 juta bagi suku ketiga daripada RM103.46 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Namun, perolehan hasilnya bagi suku di bawah kajian itu meningkat 11% kepada RM417.83 juta daripada RM376.47 juta sebelum ini, disumbangkan terutamanya oleh pengukuhan pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 November 2022, untung bersih Aeon Credit susut 5.76% kepada RM322.35 juta daripada RM342.04 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 3.93% kepada RM1.21 bilion.
MIDF Research berkata, di sebalik merekodkan keuntungan yang lebih baik daripada jangkaan, ia tidak membuat perubahan pada ramalan tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023 (FY23).
"Ini kerana kami berhati-hati terhadap sebarang kenaikan dalam rosot nilai pada suku keempat FY23 seperti yang diperhatikan pada suku keempat FY22," jelasnya. - DagangNews.com








