MIDF Research positif dengan prospek KPJ Healthcare, semak TP lebih tinggi kepada RM1.14 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research positif dengan prospek KPJ Healthcare, semak TP lebih tinggi kepada RM1.14

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Feb - MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap KPJ Healthcare Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.14 daripada RM1.06 sebelum ini selepas menyemak semula unjuran pendapatan kumpulan. 

 

Firma itu menaikkan aggaran pendapatannya bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 23% dan 86% berikutan pretasi kewangan FY21 yang memenuhi ramalannya.

 

Semakan TP pula adalah berdasarkan tambatan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 68x kepada semakan semula pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 sebanyak 1.7 sen.

 

Ia mengulangi pandangan positif dan menjangkakan kumpulan akan terus merekodkan hasil yang lebih baik tahun ini terutama menerusi operasi di Malaysia dan inovasinya untuk beralih kepada penjagaan kesihatan digital.

 

"Bagi membantu meringankan beban sistem penjagaan kesihatan awam, KPJ akan terus meluaskan penggunaan kesihatan maya dan inovasi digital, serta kerjasama awam-swasta untuk kes bukan COVID-19.

 

"Kami berpendapat sekiranya kumpulan terus mengembangkan perniagaannya, ia akan bersungguh-sungguh menyesuaikan strategi kerja dan inisiatif untuk menjalankan operasi selepas pasca pandemik, seterusnya memajukan industri kemasukan ke hospital dalam masa terdekat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : KPJ Healthcare raih untung bersih RM51.03 juta pada FY2021

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, untung bersih KPJ berkurangan kepada RM51.03 juta daripada RM110.44 juta yang diraih bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, hasilnya meningkat 10% kepada RM2.63 bilion daripada RM2.40 bilion sebelum ini, kebanyakannya berikutan peningkatan aktiviti sepanjang tahun, termasuk kerjasama lebih ketara dengan sektor penjagaan kesihatan awam membabitkan rawatan bagi pesakit COVID-19, peningkatan ujian saringan COVID-19, perkhidmatan ujian makmal dan vaksinasi.

 

Menurut MIDF Research, pandemik COVID-19 secara berterusan masing menjadi faktor kebimbangan utama kepada kumpulan kerana ia menyebabkan kos operasi meningkat apabila sekatan pergerakan dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak itu. 

 

Katanya, walaupun operasi kembali kepada positif pada penghujung FY21, usaha pemulihan di seluruh operasi perniagaan KPJ terhalang oleh perintah kawalan pergerakan dan SOP yang diperketatkan.

 

"Namun begitu, kumpulan tetap berwaspada dan memberi fokus untuk menyediakan perkhidmatan yang kekal berdaya tahan," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, peningkatan kadar jangkitan COVID-19 daripada varian Omicron dijangka tidak akan menurun dalam masa terdekat, dan ini boleh menimbulkan risiko kepada kedudukan kewangan jangka panjang KPJ. 

 

"Tetapi, kami percaya langkah disiplin kewangan KPJ dan kerjasama awam-swasta, serta sokongan kerajaan untuk sektor penjagaan kesihatan di bawah Pelan Pemulihan Negara dan Bajet 2022, akan membantu  mengurangkan kesan daripada Omicron ini," tambahnya.

 

Setakat 9.20 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.09 dengan 28,000 saham diniagakan. - DagangNews.com