MIDF Research 'neutral' terhadap Tan Chong Motor selepas catat kerugian RM19.52 juta pada Q1 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research 'neutral' terhadap Tan Chong Motor selepas catat kerugian RM19.52 juta pada Q1

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Mei - MIDF Research mengulangi saranan 'neutral' terhadap Tan Chong Motor Holdings Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.61 sesaham selepas prestasi kewangannya bagi suku pertama (Q1) tersasar daripada jangkaan firma. 

 

Bagi suku berakhir 31 Mac 2022, kumpulan mengalami kerugian bersih RM19.52 juta berbanding untung bersih RM7.73 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Kerugian itu direkodkan di tengah-tengah campuran jualan yang tidak menggalakkan, keuntungan pertukaran asing yang lebih rendah dan kos operasi lebih tinggi.

 

Menurut firma itu, dengan kerugian teras sebanyak RM2.1 juta bagi suku pertama (bersih daripada anggaran kos sekali sahaja sebanyak RM17 juta) berbanding untung RM7.7 juta pada suku pertama 2021, ia adalah di bawah jangkaannya berbanding ramalan untung bersih bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak RM6 juta dan konsensus, RM24 juta. 

 

"Hasil daripada keputusan mahkamah dalam litigasi antara Tan Chong dan Narita Motorcare (Cambodia) Co. Ltd, sejumlah AS$4 juta (RM17.4 juta) serta kos litigasi telah disediakan, ia dengan ketara mengheret pendapatan bersih kumpulan pada suku pertama 2022," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, pendapatan pada suku tersebut meningkat 29.71% kepada RM769.3 juta berbanding RM593.08 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Peningkatan itu didorong sumbangan yang lebih tinggi menerusi segmen automotif yang mencatat hasil sebanyak RM749.7 juta, meningkat 31.1% tahun ke tahun. 

 

Namun, MIDF Research melihat Tan Chong Motor berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan insentif kenderaan elektrik (EV) tempatan.

 

"Ini memandangkan produk EV yang kukuh daripada produk utamanya tetapi menyaksikan prestasi hambar dalam pasaran kereta di tengah-tengah persaingan yang sengit," katanya. - DagangNews.com