MIDF Research jangka AirAsia rugi RM2.43 bilion  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research jangka AirAsia rugi RM2.43 bilion 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - MIDF Research menurunkan lagi anggaran kerugian tahun kewangan 2021 AirAsia Group Bhd sebanyak 18% kepada RM2.43 bilion selepas syarikat penerbangan itu merekodkan kerugian yang lebih besar daripada jangkaan.

 

Firma penganalisis itu berkata, AirAsia melaporkan kerugian teras sebanyak RM1.98 bilion untuk tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2021  yang lebih lemah daripada jangkaan kerana ia membentuk 96% daripada anggaran kerugian setahun penuh yang dibuat MIDF, tetapi sebahagian besarnya berada dalam konsensus pada 77%.

 

"Perniagaan penerbangan kumpulan itu dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku ke-4 dan seterusnya apabila sempadan negeri Malaysia telah dibuka semula sepenuhnya. 

 

"Selain itu, beberapa negara di rantau ini telah mula mengalu-alukan pengembara yang diberi vaksin sepenuhnya. Oleh itu, kami menjangkakan untuk melihat pemulihan dalam permintaan untuk perjalanan udara ke destinasi serantaunya. 

 

"Namun begitu, kami tetap berhati-hati kerana mungkin mengambil sedikit masa untuk hasil daripada tempahan tempat duduk untuk kembali sepenuhnya ke tahap pra-pandemik. Di samping itu, kenaikan harga minyak mentah adalah kebimbangan utama kepada keuntungan hadapannya.

 

"Secara keseluruhannya, kami mengekalkan saranan JUAL kami kerana kami percaya bahawa harga saham telah melebihi paras penilaian saksamanya," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Kerugian bersih AirAsia Group bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 meningkat 4.1% kepada RM887 juta daripada RM851.78 juta pada suku yang sama tahun lepas, kerana pasaran Malaysia dan Indonesia terus menghadapi sekatan perjalanan di tengah-tengah usaha pembendungan COVID-19.

 

Kerugian bersih itu juga disebabkan oleh pelaburan dalam teknologi, bakat dan rangkaian kerana AirAsia terus meningkatkan aplikasi super digitalnya dan bahagian kargo udaranya Teleport.

 

Walau bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan margin yang lebih baik di belakang langkah pembendungan kosnya, walaupun merekodkan penurunan 82% dalam jumlah penumpang tahun ke tahun, sebanyak 351,971 pada suku ketiga 2021 berbanding 1.9 juta pada suku sama tahun lalu. 

 

Hasil suku tahunannya turun 36.9% kepada RM295.89 juta daripada RM468.94 juta. -DagangNews.com