MIDF kekalkan anggaran pendapatan Astro RM493.9 juta | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan anggaran pendapatan Astro RM493.9 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - MIDF Research MIDF Research mengekalkan anggaran pendapatan untuk Astro Malaysia Holdings Bhd untuk tahun kewangan 2021 pada RM493.9 juta walaupun syarikat itu telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penganalisis itu turut mengekalkan harga sasaran bagi saham-saham milik Astro pada kadar RM1.18 sesaham.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'Beli' ke atas saham Astro dan tidak ada perubahan yang dibuat pada anggaran pendapatan pada masa ini," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Sebelum ini MIDF menjangkakan pendapatan Astro masing-masing sebanyak RM581.8 juta dan RM644.6 juta bagi tahun kewangan 2022 & 2023.

 

Semalam Astro dan TM membuat perjanjian untuk berkolaborasi dalam menyediakan jalur lebar dengan liputan lebih luas di Malaysia. 

 

Menerusi kerjasama strategik tersebut, TM menerusi TM WHOLESALE akan menyediakan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan yang merangkumi kesemua peringkat perkhidmatan borong termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), 'bandwidth', 'backhaul' dan akses Internet kepada Astro.

 

Dengan perkhidmatan HSBB TM, Astro turut berupaya menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada pelanggannya tanpa perlu menbangunkan infrastruktur baharu sambil memperluaskan liputannya ke kawasan yang lebih luas di seluruh negara melalui rangkaian fiber.

 

Kerjasama itu dikatakan sejajar dengan aspirasi yang diumumkan kerajaan dalam inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).

 

"Sekatan yang timbul disebabkan pandemik COVID-19 menunjukkan peningkatan keperluan dalam liputan jalur lebar yang berkualiti bagi kegunaan isi rumah dan perniagaan.

 

"Oleh itu, perkongsian ini dilihat sebagai langkah ke arah mencapai misi yang digariskan di bawah JENDELA," katanya.-DagangNews.com